
Jalur Gemilang Gergasi Berkibar Megah Di Mercu UEM
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang, UEM Group Berhad (UEM Group), anak syarikat milik penuh dan sayap infrastruktur utama Khazanah Nasional Berhad, telah mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di ibu pejabatnya, Mercu UEM, yang terletak di Kuala Lumpur Sentral.
Jalur Gemilang gergasi berukuran 42 meter kali 21 meter dan seberat 120 kilogram itu mengambil masa selama empat jam untuk dinaikkan dan dipasang merentasi tujuh tingkat di menara setinggi 29 tingkat tersebut. Bendera berkenaan akan terus berkibar sehingga 17 September 2026.

Boleh dilihat dari kawasan berhampiran termasuklah Bangsar dan Brickfields, Jalur Gemilang gergasi yang dipaparkan di Mercu UEM ini merupakan lambang penghormatan terhadap keamanan dan kemakmuran negara yang berkekalan.






