
KALABAKAN: Kerajaan Sabah dijangka mendapat 40 peratus bahagian menerusi projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah yang bakal ditandatangani dengan Petronas tidak lama lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau menyifatkan perkembangan baharu itu sebagai antara kejayaan penting hasil kerjasama baik kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu juga adalah hasil perjanjian kerjasama yang ditandatangani dengan Petronas sebelum ini, sekaligus membolehkan kerajaan Sabah terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri juga bakal mendapat 20 peratus bahagian menerusi projek yang dilaksanakan Petronas di lapangan minyak dan gas yang baru ditemui di perairan Sandakan.
“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan Petronas dan tidak berapa lama lagi, mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian dengan Petronas di mana kita akan mendapat 40 peratus daripada projek gas asli cecair terapung di Sabah.
“Di Sandakan, Petronas sudah mendapat satu lapangan minyak dan gas, di sini kita akan dibagi 20 peratus,” katanya yang berkongsi perkara itu ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah Madani Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, beliau mendengar Taklimat Pembangunan Kalabakan yang disampaikan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad Abdul Rashid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kalabakan.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Sabah kini mempunyai dua kemudahan FLNG yang sedang beroperasi di luar pesisir, manakala projek ketiga berhampiran pesisir sedang dalam pembinaan.
Kemudahan yang beroperasi ialah FLNG Satu, yang dipindahkan ke medan Kluster Kebabangan kira-kira 90km di barat laut Kota Kinabalu pada 2019, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun (MTPA).
FLNG Dua pula ditempatkan di medan gas Rotan di Blok H, kira-kira 140 kilometer di luar pesisir Kota Kinabalu, sejak 2021 dengan kapasiti 1.5 MTPA.
Projek FLNG Tiga (ZLNG) yang bakal beroperasi merupakan kemudahan berhampiran pesisir yang sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip), dengan kapasiti 2.0 MTPA dan disasarkan mula beroperasi pada separuh kedua 2027.
Terdahulu, Hajiji menghadiri taklimat pembangunan Kalabakan yang disampaikan Pegawai Daerah Murad Abdul Rashid di pejabat daerah.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman serta Pembantu-Pembantu Menteri Sabah.
Hajiji berkata rakyat dan negeri akan terus menikmati manfaat besar hasil hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata Sabah turut menarik minat pelabur yang semakin meningkat menerusi dasar mesra pelabur yang diperkenalkan pentadbirannya, yang turut diiktiraf diplomat asing yang mengunjungi negeri ini bagi meneroka peluang pelaburan.
“Hampir 40 diplomat asing atau pesuruhjaya tinggi telah menemui saya sepanjang lima tahun lalu. Mereka tertarik dengan dasar mesra pelabur yang kita laksanakan. Mereka berkata dasar ini akan membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah dan itulah yang sedang kita lakukan untuk Sabah,” katanya.
Hajiji berkata taman perindustrian sedia ada, khususnya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Sogip, kini hampir mencapai kapasiti maksimum berikutan peningkatan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri sedang memperluaskan kawasan perindustrian baharu, termasuk Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di pantai timur serta taman perindustrian berasaskan ekonomi biru.
Mengenai pembangunan Kalabakan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited membangunkan daerah itu selaras dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, termasuk cadangan membangunkan Pekan Baharu Kalabakan di kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar.
Katanya, apabila dilaksanakan kelak, pekan baharu itu akan menjadi pusat pertumbuhan baharu daerah berkenaan dengan pelbagai pembangunan yang dirancang.
Kerajaan juga sedang menaik taraf infrastruktur di Kalabakan, termasuk jalan raya serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang akan menjadi pintu masuk ke Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia.
Lawatan Ketua Menteri ke Kalabakan juga bertujuan meninjau sendiri perkembangan pembangunan daerah itu bagi memastikan rakyatnya tidak tercicir daripada agenda pembangunan kerajaan.






