Jana hampir 70% hasil, Mid Valley City kekal pemacu hasil utama IGB Commercial REIT - HLIB

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2025 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jana hampir 70% hasil, Mid Valley City kekal pemacu hasil utama IGB Commercial REIT - HLIB

image is not available

08/10/2025 - 12:43

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Mid Valley City diyakini kekal sebagai pemacu hasil utama kepada IGB Commercial Real Estate Investment Trust (IGB Commercial-REIT), menjana hampir 70% daripada hasil keseluruhan kumpulan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pembangunan kawasan itu diwujudkan sebagai ekosistem bersepadu yang menghubungkan bangunan pejabat berkualiti tinggi dengan Mid Valley Megamall dan kawasan kediaman sekitarnya.

“Pendekatan ini membolehkan Mid Valley City menawarkan kadar sewa yang lebih tinggi berbanding pasaran pejabat KL secara keseluruhan.

"Sebagai contoh, purata kadar sewa pejabat di Mid Valley City ialah RM6.85 sekaki persegi, kira-kira 20% lebih tinggi berbanding hartanah IGB Commercial-REIT lain di pusat bandar Kuala Lumpur, berdasarkan data suku kedua 2025,” katanya dalam satu nota kajian.

Kadar penghunian di Mid Valley City juga kekal pada 96%, menandakan permintaan yang berterusan terhadap pembangunan tersebut.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi GTower, aset itu menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah hasil IGB Commercial-REIT, walaupun beroperasi dalam pasaran pejabat yang sangat kompetitif, ia menonjol melalui struktur penyewa pelbagai yang membolehkan penyediaan kemudahan bersama yang luas untuk pelbagai kumpulan penyewa.

Selain itu, GTower menikmati ketersambungan yang sangat baik, hanya kurang lima minit berjalan kaki ke stesen LRT dan MRT Ampang Park, sekali gus meningkatkan daya tarikan sewaannya. Kadar penghunian komited bangunan itu kini melebihi 90%, dan pihak pengurusan turut melaporkan permintaan baharu masih diterima.

HLIB berkata, selain portfolio hartanahnya, profil hutang IGB Commercial-REIT kini terdedah sepenuhnya kepada kadar faedah apungan.

Pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) pada Julai lalu kepada 2.75%, HLIB menjangkakan penjimatan kos faedah akan meningkatkan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami menjangka peningkatan keuntungan bersih sebanyak 1.2%, 2.3% dan 2.2% masing-masing bagi tahun kewangan 2025 (FY25), 2026 (FY26) dan 2027 (FY27) hasil penjimatan kadar faedah,” katanya.

Selain itu, pihak pengurusan turut melaporkan penjimatan tambahan kos elektrik, dengan pengurangan dalam lingkungan satu digit setiap bulan selepas penstrukturan semula tarif Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang terkini.

Dari segi pertumbuhan, pengurusan IGB Commercial-REIT berkata, pihaknya terbuka kepada pengambilalihan aset baharu di luar penaja utamanya, IGB Berhad.

“Langkah ini membuka ruang kepada pertumbuhan bukan organik namun belum ada aset tertentu dikenal pasti buat masa ini,” jelas HLIB Research.

HLIB mengekalkan saranan " beli" terhadap IGB Commercial-REIT, dengan harga sasaran dinaikkan kepada 64 sen daripada 62 sen sesaham.

“Kami percaya pemulihan berterusan dalam pasaran pejabat akan memberi kelebihan kepada aset yang berlokasi strategik dan mantap seperti portfolio milik IGB Commercial-REIT, yang telah menunjukkan ketahanan melalui kadar penghunian tinggi dan pertumbuhan kadar sewa yang stabil,” katanya. - DagangNews.com

standard