Janda ‘gila talak’ sihir isteri baharu bekas suami

Family & ParentingLifestyle
25 Sep 2026 • 9:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Janda ‘gila talak’ sihir isteri baharu bekas suami

“SAYA berkenalan dengan suami yang merupakan duda anak tiga di satu aplikasi mencari jodoh. Setelah berkenalan enam bulan, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Semuanya berjalan dengan baik, anak-anak tiri saya sangat comel dan manja. Namun, kehadiran bekas isteri suami saya telah membuat kacau hingga menyebabkan keharmonian rumah tangga kami bergolak.”

Demikian cerita Dira (bukan nama sebenar) sewaktu membuka kisah mengenai kegagalan rumah tangganya dengan seorang lelaki berstatus duda kira-kira dua tahun lalu.

“Sejujurnya pada ketika itu, saya terdesak untuk berkahwin kerana usia sudah cecah 30 tahun. Ini menyebabkan keluarga asyik bertanya, bila saya hendak berkahwin?

“Saya rasa sangat tertekan dengan pertanyaan keluarga dan orang di sekeliling. Ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh di satu aplikasi, sebelum bertemu dengan bekas suami.

“Pada ketika itu, saya jatuh cinta dengan bekas suami sebab dia seorang yang sangat matang, bertanggungjawab dan penyayang,” ujar wanita yang berasal dari Ampang, Selangor itu.

Ujar Dira, keluarga suaminya sangat baik dan menyambutnya dengan penuh kasih sayang sehingga dia tidak berasa seperti orang asing.

“Jika dibandingkan dengan suami, saya lebih berjawatan tinggi. Namun, saya tidak kisah sebab suami sangat baik dan keluarganya juga meraikan kedatangan saya dalam kehidupan mereka.

“Bergelar isteri dan ibu segera kepada tiga orang anak memberikan pengalaman yang sangat menggembirakan kerana merasakan hidup saya sudah lengkap,” kongsinya.

Akan tetapi, kemunculan bekas isteri suaminya membuatkan keharmonian rumah tangga mereka bertukar keruh apabila Dira dituduh mendera anak-anak tirinya.

Wanita itu juga menghasut anak-anaknya supaya membenci Dira.

“Sikap anak-anak tiri mula berubah, mereka enggan bercakap serta tidak mendengar kata hingga saya hilang sabar dengan mereka.

“Apabila saya mengadu kepada suami, dia hanya mengambil ringan perkara ini dan mengatakan bahawa anak-anaknya masih kecil serta tidak matang,” ujarnya.

Dira berkata, suaminya itu sudah bercerai selama dua tahun dengan bekas isteri kerana wanita itu berlaku curang.

Namun, kekasih wanita itu hanya mempermainkannya hingga membuatkan dia bagai ‘gila talak’ dan mahu kembali kepada suami Dira.

Sehubungan itu, wanita tersebut melakukan pelbagai cara untuk kembali kepada bekas suaminya. Namun, cemburu mula membara apabila wanita itu mengetahui bekas suaminya telah berkahwin dengan Dira.

“Dia bukan sahaja melemparkan fitnah, wanita itu juga sanggup melakukan perbuatan keji dengan meminta bomoh menyihir saya dan suami agar kami saling membenci serta tidak dikurniakan anak.

“Setelah setahun berkahwin, saya telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat. Apabila pergi klinik, doktor dapati saya dan suami sihat sahaja.

“Disebabkan rasa tidak sedap hati, saya berjumpa dengan seorang ustaz dan dia mendapati rahim saya telah dikunci agar tidak mempunyai anak.

“Sikap suami juga berubah menjadi panas baran dan kami juga sering bergaduh,” katanya.

Tambah Dira, dia dan suami beberapa kali mendapatkan rawatan untuk mengubati gangguan sihir tetapi ia hanya bertahan seketika.

Selepas itu, mereka kembali bergaduh sehingga membuatkan dia berasa sangat penat dan mengganggu urusannya di pejabat.

“Fizikal dan mental saya berasa sangat penat sehinggakan berat badan menyusut.

“Saya rasa tidak sanggup lagi mahu hadap semua ini. Disebabkan itu, kami akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah di sebuah Mahkamah Syariah,” tutur Dira.

The post Janda ‘gila talak’ sihir isteri baharu bekas suami appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved