
ISU pembuli siber dan penyebaran fitnah melalui akaun palsu semakin hari semakin menjadi-jadi, malah jawapan mudah sesetengah pihak yang menyuruh mangsa ‘abaikan sahaja’ bukanlah satu penyelesaian tuntas.
Terbaharu, penyanyi popular Amira Othman tampil bersuara tegas menerusi satu hantaran di Threads miliknya berkenaan tindakan undang-undang yang sedang diambil bersama suaminya terhadap akaun palsu yang dikenali sebagai ‘Musang Berjanggut’.
Baru bergelar ibu kepada cahaya mata lelaki baru-baru ini mendedahkan, peti mesej peribadinya dihujani pelbagai teguran dan dorongan daripada peminat yang bimbang jika kes berkenaan didiamkan begitu sahaja.
Menurut 'isteri syurga' Fattah Amin itu, kata-kata fitnah yang dilemparkan oleh individu di sebalik akaun palsu tersebut sangat keterlaluan sehingga menimbulkan rasa takut dan seram melihat sikap sebilangan netizen yang seolah-olah tidak takut kepada balasan Tuhan.
Bagi menghentikan spekulasi, Amira menegaskan dia dan suami langsung tidak pernah menarik balik laporan yang telah dibuat.
Sebaliknya, mereka gigih turun naik ke balai polis dan pihak berkuasa demi memastikan individu tidak bertanggungjawab itu dibawa ke muka pengadilan.

"Salam. Penuh DM saya orang mesej dan tag saya serta suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa Musang Berjanggut yang telah pun menfitnah kami macam-macam.
"Bercakap perkara-perkara tidak elok. Saya baca pun seram. Tak takut ke pada ALLAH? Untuk pengetahuan peminat-peminat, kami tidak pernah menarik laporan," ujar Amira.
Langkah tegas yang diambil oleh pasangan ini juga menyaksikan mereka bertemu terus dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta PDRM.
Amira mempersoalkan sejauh mana keberkesanan mekanisme sedia ada dalam membanteras gejala buli siber jika akaun-akaun palsu ini masih bebas berleluasa tanpa tindakan undang-undang yang benar-benar ketat.
"Kami turun naik buat laporan di SKMM dan PDRM, malah berjumpa dengan Datuk Fahmi Fadzil adalah untuk menangani isu ini. Bukankah isu pembuli siber ini harus dibanteras?
"Selagi tidak ada mekanisme yang dicipta untuk selesaikan semua ini, selagi itulah tidak akan selesai dan berleluasa sebab 'fake account' ini tak takut kerana Malaysia tidak ada tindakan tegas," tegasnya lagi.

Amira turut membidas cadangan mudah sesetengah pihak yang hanya menyuruh mangsa melupakan atau tidak membaca komen-komen negatif tersebut.
Katanya, pendekatan sebegitu hanya membuatkan pembuli siber menjadi lebih berani, di samping berisiko tinggi merosakkan kesihatan mental dan emosi sesiapa sahaja yang menjadi mangsa.
"Jadi saya tertanya-tanya, apa fungsi SKMM? Hujung-hujung mereka cakap 'jangan baca sahaja'. Kami kalau tak baca dan tak beri respons pun rasanya ia semakin melampau. Takut-takut ia memudaratkan mental dan emosi sesiapa sahaja yang kena," luah pelantun lagu Dalam Sujudku itu jujur.
Sehubungan itu, duta jenama Rissa Skin itu bertekad untuk meneruskan perjuangan ini sehingga identiti sebenar di sebalik akaun 'Musang Berjanggut' itu terdedah.
Dia turut menggesa sokongan padu daripada masyarakat agar isu buli siber ini mendapat perhatian serius dan dibanteras hingga ke akar umbi.
"Kami tidak akan menarik laporan sebab kami pun nak tahu siapa Musang yang nampak seperti sangat berani berselindung di sebalik akaun palsu. Jadi mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa tular, isu ini dapat diselesaikan," tambahnya sambil menyertakan tanda pagar hentikan buli siber.
Hantaran tersebut meraih reaksi pantas daripada warga maya yang rata-ratanya berdiri teguh di belakangnya serta bersetuju dengan tindakan pasangan berkenaan.
Antara ulasan netizen yang mencuri perhatian termasuklah yang menyokong penuh tindakan menyaman individu berkenaan seperti "Ya, jangan tarik saman! Biarkan, cari sampai jumpa Musang tu Kak Ya."

Ada juga yang membantu menular kenyataan tersebut dengan harapan pelaku segera ditangkap, "Saya tolong kongsikan semula. Semoga si dia tertangkap!"
Malah ramai yang turut menzahirkan sokongan moral secara berterusan dengan meninggalkan komen, "Ya, kami akan sentiasa menyokong Bang Long dan Kak Long!"






