‘Kami takkan tarik balik laporan, nak tahu siapa Musang Berjanggut’

LocalEntertainment
29 Jul 2026 • 1:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kami takkan tarik balik laporan, nak tahu siapa Musang Berjanggut’

PETALING JAYA – “Bukankah isu buli siber ini harus dibanteras?”

Demikian penegasan penyanyi Amira Othman berkenaan individu yang tidak henti-henti menabur fitnah terhadap dirinya dan suaminya, pelakon Fattah Amin.

Dalam masa sama, Amira atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 33, menegaskan tidak menarik balik laporan yang dibuat terhadap individu terbabit selain mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bagi membanteras gejala tersebut.

“Penuh DM (mesej langsung) saya orang mesej dan tag saya serta suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa Musang Berjanggut yang memfitnah kami macam-macam.

“Bercakap perkara-perkara tidak elok. Saya baca pun seram, tak takut ke pada Allah.

“Untuk pengetahuan peminat-peminat, kami tidak pernah menarik laporan. Kami turun naik buat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah berjumpa dengan Datuk Seri Fahmi Fadzil adalah untuk menangani isu ini,” katanya dalam Threads.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Hati-Hati itu mempersoalkan keberkesanan pihak bertanggungjawab dalam menangani jenayah buli siber menerusi akaun palsu yang semakin berleluasa.

“Selagi tidak ada mekanisme yang dicipta untuk menyelesaikan semua ini, selagi itulah tak akan selesai dan berleluasa sebab akaun palsu ini tak takut.

“Malaysia tidak ada tindakan tegas. Jadi, saya tertanya-tanya apa fungsi MCMC?

“Hujung-hujung mereka cakap jangan baca saja. Kami kalau tak baca dan balas pun rasanya semakin melampau dan takut-takut memudaratkan mental serta emosi sesiapa sahaja yang kena,” ujarnya.

Selain itu, Amira berharap kuasa netizen dapat membongkarkan identiti individu di sebalik akaun palsu yang sentiasa melemparkan fitnah terhadap keluarganya.

“Kami tidak akan menarik laporan sebab kami pun nak tahu siapa Musang yang nampak seperti sangat berani berselindung di sebalik akaun palsu.

“Jadi, mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa tular isu ini dapat diselesaikan,” tegasnya.

Sebelum ini, akaun bernama Musang Berjanggut mendakwa Fattah tidak melunaskan tunggakan yuran sekolah anak perempuannya, Fatima Aisya.

Berdasarkan pemerhatian, akaun tersebut sentiasa memuat naik hantaran pelbagai spekulasi terhadap Fattah dan Amira.

Pada masa sama, Fattah mendedahkan sudah lama membuat laporan polis serta aduan kepada pihak berkuasa berkenaan akaun yang sering menyebarkan maklumat palsu mengenai dirinya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kami takkan tarik balik laporan, nak tahu siapa Musang Berjanggut’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved