Jangan bahayakan diri bersenam tengah malam

Health & FitnessLifestyle
3 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan bahayakan diri bersenam tengah malam

AKTIVITI berjoging pada waktu malam semakin menjadi pilihan penduduk di kawasan perumahan kerana suasananya lebih nyaman dan tidak terlalu panas berbanding pada waktu siang.

Tidak mengira usia mahupun jantina, aktiviti sebegini menjadi pilihan khususnya buat mereka yang tinggal di kawasan bandar untuk dilakukan secara bersendirian atau dalam kumpulan.

Kesibukan aktiviti pada waktu siang, jarak yang lebih dekat dan keyakinan terhadap keselamatan menjadi antara faktor mereka memilih untuk berjoging pada waktu malam.

Atlet maraton yang terkenal dengan gelaran Raja Maraton Malaysia, Muhaizar Mohamad, memberitahu, joging pada waktu malam boleh menjadi pilihan bagi mereka yang sibuk pada siang hari selain membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan kesihatan jantung.

Aktiviti ini juga dapat membantu mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja dan memberi ruang kepada tubuh untuk sentiasa kekal aktif.

Bagaimanapun waktu joging perlu diatur dengan baik supaya tidak mengganggu waktu rehat dan tidur yang berkemungkinan akan menyebabkan badan menjadi lesu dan tidak bersemangat untuk memulakan hari pada keesokannya.

“Tiada kesan sampingan jika kita menjaga kualiti tidur dengan betul kerana saya sendiri pernah menjalani latihan setiap malam sepanjang Ramadan selama sebulan dan tidak mengalami sebarang masalah kerana memastikan waktu tidur dan rehat mencukupi.

“Bagi mereka yang bekerja pada siang hari boleh berjoging pada waktu malam tetapi perlu pandai mengurus masa agar dapat menjalani kehidupan seimbang.

“Selepas pulang kerja, sebaiknya berehat sekita sebelum keluar berjoging dan pastikan waktu larian itu tidak terlalu lewat sehingga mengganggu waktu tidur,” katanya.

Biarpun menyokong aktiviti berjoging pada waktu malam, Muhaizar bagaimanapun menegaskan agar khalayak memberi tumpuan kepada penjagaan keselamatan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Sikap segelintir individu yang memilih untuk mengenakan pakaian berwarna gelap tanpa dilengkapi headlamp atau lampu suluh kepala sebagai langkah keselamatan dan penglihatan.

Begitu juga dengan ibu bapa yang melakukan aktiviti tersebut bersama anak kecil sambil menolak kereta sorong bayi tanpa mengenakan sebarang alat bantuan pencahayaan.

“Penjagaan keselamatan ketika melakukan larian pada waktu malam penting terutama ketika melakukan aktiviti itu di jalan raya. Sebaiknya gunakan lampu yang diletakkan pada badan atau kepala dan menggunakan pakaian yang mempunyai pantulan cahaya.

“Ini memudahkan penglihatan pengguna jalan raya lain untuk menyedari kehadiran pelari lebih-lebih lagi di kawasan kurang pencahayaan sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan atau pelanggaran,” katanya.

Justeru, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan oleh mereka yang gemar berjoging pada waktu malam khususnya di laluan sekitar kawasan perumahan.

Janganlah kerana ingin meraih manfaat daripada aktiviti fizikal itu, kita mengabaikan aspek perlindungan diri yang bukan sahaja boleh mengancam keselamatan dan nyawa malah turut menyusahkan pengguna jalan raya lain.

The post Jangan bahayakan diri bersenam tengah malam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved