Terselamat selepas masuk ke alam bunian

30 Aug 2026 • 11:52 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Terselamat selepas masuk ke alam bunian

AKTIVITI mencari ketenangan seorang diri di sebuah kawasan sungai di Selangor bertukar misteri apabila Murad (bukan nama sebenar) mendakwa dia termasuk ke alam bunian.

Menurut Murad, dia memilih kawasan berkenaan kerana sering menjadi tumpuan keluarganya untuk berkelah dan mandi-manda, sekali gus membuatkannya yakin datang ke situ seorang diri.

Dia kemudian mencari kawasan yang agak terlindung, sebelum turun ke tengah sungai dan berbaring di atas sebuah batu besar.

Kepalanya bersandar pada batu berkenaan sambil menikmati bunyi aliran sungai dan suasana nyaman di sekeliling.

“Saya memang datang untuk me time. Masa itu ramai orang, jadi saya tidak takut untuk tidur seorang diri.

“Bunyi air sungai buatkan saya rasa tenang, sebelum terlelap,” katanya membuka bicara dengan CitaRasa.

Bagaimanapun, sebaik membuka mata, Murad mendapati suasana di sekelilingnya sudah berubah.

Kawasan yang sebelum ini dipenuhi orang ramai dan kanak-kanak bermain air, tiba-tiba bertukar sunyi dengan langit kelihatan sudah gelap.

Dia segera bangun dan mengemas barang untuk pulang.

Namun sebelum sempat meninggalkan kawasan tersebut, seorang lelaki tua menegurnya.

Lelaki berkenaan memakai baju Melayu lama berwarna gelap, kain sarung dengan penutup kepala tradisional yang mengingatkan Murad kepada pakaian orang pada zaman dahulu.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mengajak Murad ke rumahnya kerana hari sudah larut malam untuk berada di situ seorang diri.

Namun, apabila Murad menolak pelawaan tersebut dan memberitahu mahu pulang, lelaki berkenaan mula mendesak supaya mengikutnya balik ke rumah.

“Dia seperti paksa saya ikut. Saya rasa pelik sebab saya tak pernah nampak orang tua itu sebelum ini.

“Dia kata, jangan balik kerana sudah malam dan ajak saya ke rumahnya. Saya mula rasa tidak sedap hati,” katanya.

Murad akhirnya akur mengikut lelaki berkenaan, sebelum mereka memasuki satu laluan denai di dalam hutan.

Semakin jauh berjalan, semakin kuat perasaan takut yang dirasai oleh Murad.

Kawasan itu langsung tidak kelihatan seperti tempat yang dikunjunginya pada petang tadi.

Tiada orang, tiada bunyi kenderaan dan tiada kemudahan seperti tempat menukar pakaian yang sepatutnya ada di kawasan rekreasi tersebut.

“Bila masuk ke kawasan itu, saya rasa macam bukan tempat yang sama. Semuanya nampak lain dan sunyi.

“Masa itu saya mula baca zikir dalam hati sebab rasa macam ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Tidak lama kemudian, Murad cuba melarikan diri. Dia mempercepatkan langkah, sebelum berpatah balik melalui laluan yang dilaluinya tadi sambil terus berzikir.

Bagaimanapun, selepas 100 meter berlari, dia mendapati dia masih berada di rumah lelaki tua berkenaan.

Lebih mengejutkan, lelaki itu sudah berada di hadapannya seolah-olah mengetahui Murad cuba melarikan diri.

“Dia cuma cakap, ‘jangan lari’. Masa itu saya memang takut dan terus baca zikir dalam hati.

“Saya tak tahu nak pergi mana sebab kawasan itu langsung tidak sama dengan tempat saya datang tadi,” katanya.

Akhirnya, Murad tiada pilihan, selain mengikut lelaki tersebut masuk ke sebuah rumah kayu.

Keadaan di dalam rumah itu kelihatan seperti ketika zaman dahulu, tanpa kemudahan moden yang biasanya ditemui di kediaman pada masa kini.

Lelaki tua itu meminta Murad berehat kerana hari sudah larut malam.

Dalam keadaan masih ketakutan, Murad hanya mampu berbaring sambil membaca zikir dan menutup matanya.

Menurutnya, ketika itu, dia sudah pasrah dan hanya berdoa agar diberikan jalan keluar apabila hari kembali siang.

“Saya sudah reda masa itu. Saya fikir, kalau betul saya tidak boleh keluar, saya tunggu saja sampai esok dan berharap ada jalan untuk pulang,” katanya.

Namun, apabila terjaga daripada tidur, Murad terkejut selepas mendapati dia kembali berada di atas batu di tengah sungai.

Lebih menghairankan, keadaan di sekelilingnya masih sama seperti sebelum dia terlelap.

Orang ramai masih berada di tebing sungai, kanak-kanak sedang bermain air dan suasana cukup cerah dengan pancaran matahari.

Kepalanya pula berpeluh-peluh, walaupun tubuhnya masih disirami air sungai yang mengalir.

Murad segera naik ke tebing untuk mencapai telefon bimbit bagi melihat waktu.

Apa yang membuatkannya semakin terkejut, dia hanya tertidur beberapa minit di situ.

“Saya ingatkan sudah lama atau selama seharian, tetapi rupanya baru beberapa minit.

“Badan saya berpeluh dan kepala rasa sangat panas, walaupun saya masih berada di kawasan sungai.

“Itulah pertama kali dan terakhir saya me time di sungai berkenaan seorang diri,” katanya.

The post Terselamat selepas masuk ke alam bunian appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved