“Jangan Bazir Duit Kerajaan Negeri” – Naib Presiden Amanah Tak Setuju Cadangan Jawatan Timbalan Exco N9

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 10:24 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Jangan Bazir Duit Kerajaan Negeri” – Naib Presiden Amanah Tak Setuju Cadangan Jawatan Timbalan Exco N9

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (4 Ogos), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi membantu mengukuhkan pentadbiran negeri tersebut.

Menurut beliau, jawatan Exco secara keseluruhannya akan diisi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN).

Baca Artikel Berkaitan: Ismail Lasim Dilantik MB Negeri Sembilan Ke-12

Baca Artikel Berkaitan: “Tatacara Pelantikan MB Diikuti Dengan Betul”- Menteri Besar Negeri Sembilan

‘Pelantikan Timbalan Exco Negeri Sembilan Hanya Akan Wujudkan Pembaziran’ – Mahfuz

Bagaimanapun cadangan ini telah mendapat banyak reaksi pelbagai pihak termasuklah Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang membantahnya.

Jelas Mahfuz, pelantikan Timbalan Exco akan menyebabkan pembaziran wang kerajaan negeri kerana setiap jawatan baru yang dilantik memerlukan peruntukan bagi membayar elaun mereka.

“Bagi saya, ini pembaziran sebab setiap jawatan itu memerlukan elaun, bukannya dilantik secara percuma.

“Jadi, jangan membazir duit kerajaan negeri,” katanya.

‘PN-BN Tak Berupaya Tadbir Negeri & Negara’ – Mahfuz

Tambahnya lagi, cadangan melantik Timbalan Exco menunjukkan ketidakupayaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan BN dalam mentadbir negeri.

“Pada saya, inilah otak pemimpin PN-BN yang tidak berkeupayaan untuk mentadbir negeri dan juga negara.

“Kenapa perlu tambah jawatan? Kalau seseorang itu mempunyai keupayaan, dia boleh menguruskan tugas dan portfolio yang diberikan,” katanya, lapor Malaysiakini.

Mahfuz Sifatkan Jumlah Kabinet Yang Besar Tidak Semestinya Jamin Pentadbiran Negeri Yang Baik

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata beliau terkejut apabila perkara sama iaitu pelantikan Timbalan Exco di Johor sebelum ini turut dipertimbangkan pentadbiran Negeri Sembilan.

Beliau berkata jumlah kabinet yang besar tidak semestinya menjamin pentadbiran negeri dan negara yang maju.

“Ya Allah, saya pun terkejut. Bermula dengan Johor dan kini Negeri Sembilan.

“Kalau kita tengok negara-negara lain, kabinet kerajaan mereka kecil sahaja walaupun jumlah penduduk beratus juta, tetapi negara mereka maju,” katanya.

20 Anggota Kabinet Terlampau Ramai Untuk Pentadbiran N9 – Mahfuz

Mahfuz berkata 20 anggota yang terdiri daripada 10 exco dan 10 timbalan exco adalah jumlah yang terlampau besar untuk pentadbiran sebuah negeri yang kecil.

Namun begitu, Ismail Lasim sebelum ini memaklumkan bahawa jumlah timbalan exco yang akan dilantik masih belum diputuskan.

Mahfuz Bandingkan Pelantikan Timbalan Exco Dengan Prestasi Pentadbiran PN Terdahulu

Dalam pada itu, Mahfuz berharap agar Kerajaan Negeri memberi fokus penuh kepada individu berkelayakan dan yang mampu menggunakan keupayaan mereka secara keseluruhannya dalam mentadbir Negeri Sembilan.

Beliau turut membandingkan cadangan Menteri Besar Negeri Sembilan itu dengan pentadbiran PN sebelum ini yang menurutnya pernah mempunyai barisan kabinet yang besar tetapi tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Pengerusi BERSIH Turut Tak Setuju Dengan Cadangan Pelantikan Timbalan Exco

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Faisal Abdul Aziz turut mempunyai pandangan yang sama seperti Mahfuz. Beliau turut menolak alasan Ismail yang mengatakan cadangan itu bertujuan mengukuhkan pentadbiran negeri.

Menurutnya, pentadbiran terdahulu di bawah pimpinan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan bahawa para pemimpin mampu berkhidmat dan mentadbir negeri dengan cemerlang tanpa perlu mewujudkan jawatan terbabit.

“Jika ingin kukuhkan pentadbiran, lebih baik kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kukuhkan Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Rata-rata DUN perlu banyak penambahbaikan termasuk mengukuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri dan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan yang bersesuaian seperti mengikut portfolio Exco seperti yang diamalkan di DUN Selangor,” katanya, dipetik Suara Keadilan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved