
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 1448H/2026M di Casuarina Convention Centre, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 26 anugerah membabitkan 124 penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori kecemerlangan pendidikan Islam.
Anugerah utama, iaitu Anugerah Khas Pendidik 2026 diberikan kepada dua penerima iaitu Pengetua Maahad Al-Islah, Agus Lokman Sulam yang turut dinobatkan sebagai Tokoh Imam Mithali Peringkat Kebangsaan 2026.
Seorang lagi penerima ialah Mohd. Zulkhairi Mohd. Nor yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Kontemporari ICCE23 Peringkat Antarabangsa.
Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Sijil Pengajian Masjid kepada 23 penerima, Anugerah Jasamu Dikenang (tiga penerima), Anugerah Hafiz Muda (30 penerima) dan Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak (45 penerima).
Baginda turut menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang Tadika Islam dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Anugerah Penyelia Cemerlang Tadika Islam dan KAFA, masing-masing kepada dua penerima selain beberapa anugerah bagi kategori pelajar dan sekolah terbaik.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Manual Urus Keselamatan Makanan dan Halal bagi Institusi Pendidikan Islam Negeri Perak (MUKMIN PERAK).
MUKMIN PERAK merupakan dokumen panduan rasmi yang dibangunkan khusus bagi memastikan keselamatan makanan dan pematuhan standard halal di semua peringkat institusi pendidikan Islam (IPI) di negeri ini.
Dokumen panduan berkenaan merupakan hasil kolaborasi antara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan JAIPk.
Majlis pra pelancaran rasmi manual berkenaan telah diadakan pada 16 Julai lalu di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbir Islam Perak (INTIM). – UTUSAN
The post Sultan Nazrin sampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak appeared first on Utusan Malaysia.






