PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap gabungan itu berkaitan agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik daripada pihak dalam serta luar PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu mengambil maklum keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut.
Menurutnya, PN sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia bagi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong ahli serta penyokong.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Takiyuddin berkata demikian selepas PN menerima notis dan perintah daripada ROS berkaitan status pendaftaran gabungan berkenaan.
Beliau berkata, PN menerima notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi maksud ROS membatalkan pendaftaran PN selepas tempoh tunjuk sebab daripada gabungan itu dalam tempoh 30 hari.
Katanya, cadangan pembatalan tersebut berkaitan aduan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap PN berhubung satu mesyuarat bertarikh 16 Julai 2026.
Susulan notis itu, PN turut menerima perintah di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
“PN mengambil maklum keputusan ROS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya.
Takiyuddin berkata, kedua-dua notis dan perintah berkenaan diserahkan kepada PN masing-masing pada 22 dan 23 September 2026.
Beliau turut memaklumkan penerimaan kedua-dua dokumen itu berlaku pada waktu pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam waktu terdekat.
Sebelum ini, Bersatu dilaporkan mengemukakan aduan rasmi kepada ROS berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu selain isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut meminta ROS membuat keputusan segera berhubung aduan tersebut.
Bersatu juga mendakwa terdapat beberapa perkara yang berlaku dalam PN bertentangan dengan aturan pertubuhan gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, Takiyuddin menyeru ahli dan penyokong PN supaya bertenang kerana perkara berkenaan sedang diuruskan sebaiknya.
Beliau berkata, PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, PN mengeluarkan perintah larangan atau gag order berkuat kuasa serta-merta terhadap mana-mana pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak gabungan itu, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.






