
KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen, tidak kira di blok kerajaan mahupun pembangkang diseru untuk bersama menyokong tindakan tegas dikenakan terhadap individu-individu yang merakuskan Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga menjejaskan institusi itu.
Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH menunjukkan berlakunya penyelewengan besar-besaran hingga memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi tersebut.
Beliau berkata, kegagalan mengisytiharkan kebenaran tentang akaun dan keputusan-keputusan yang salah itu turut mengheret imej negara dan ummah, oleh itu semua pihak terlibat wajar untuk diambil tindakan secara berjemaah.
“Satu pasukan petugas khas melibatkan semua jabatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus meneliti isu ini kerana ia telah melibatkan imej kita secara keseluruhan yang sudah terjejas dan tergugat.
“Saya merasakan ada keperluan untuk kita secara solidariti, bersama-sama, seluruh ahli dewan untuk memastikan siapa pun yang bertanggungjawab harus diambil tindakan tegas dan mereka ini tidak lagi wajar duduk di pejabat awam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.-UTUSAN
The post Jangan lindung penyeleweng TH appeared first on Utusan Malaysia.






