
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan melindungi individu-individu yang didapati bersalah dalam penyelewengan Lembaga Tabung Haji (TH) hingga menjejaskan institusi itu.
Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sert agensi penguatkuasa berkaitan memberikan kemaskini awam secara berkala dalam tempoh masa yang jelas mengenai semua siasatan dilakukan.
“Saya ingin menegaskan bahawa BN khususnya UMNO, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pecah amanah, salah guna kuasa atau salah tadbir yang menjejaskan TH.
“Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, ia juga mesti dilihat sedang dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pindaan menyeluruh Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) perlu dilihat semula.
“Pindaan tersebut mesti merangkumi syarat-syarat yang jelas bagi semua pelantikan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi. Kedua, peruntukan konflik kepentingan yang lebih ketat.
“Kewajiban pengisytiharan kepentingan dan aset oleh pemegang jawatan utama dan mengurangkan kuasa budi bicara yang terlalu besar di bawah pihak eksekutif. Saya juga menggesa supaya laksana audit forensik bebas terhadap semua pelaburan yang dikenalpasti oleh RCI,” katanya.-UTUSAN
The post BN, UMNO tidak lindungi penyeleweng TH appeared first on Utusan Malaysia.






