
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak berputus asa susulan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung pada Sabtu.
Beliau berkata, kekalahan itu bukan bermakna PKR sudah ‘bungkus’, sebaliknya parti perlu bangkit dan menyusun semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pada PRN Negeri Sembilan lalu, gabungan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri selepas memperoleh majoriti mudah, sekali gus menamatkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Hassan mengingatkan ahli PKR supaya menerima kekalahan dengan jiwa besar kerana perjuangan parti tidak berakhir dengan satu keputusan pilihan raya.
“Jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Malu jika menangis. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang,” katanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat kemungkinan pemimpin dan ahli meninggalkan parti selepas kekalahan itu, masih ramai wakil rakyat PKR yang kekal setia mempertahankan Kerajaan MADANI di Dewan Rakyat.
Hassan turut menegaskan PKR kekal sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang membawa agenda keadilan dan perubahan, justeru tidak seharusnya hilang keyakinan terhadap masa depan parti.
Beliau pada masa sama menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak tergesa-gesa mengadakan PRU16, sebaliknya memberi tumpuan kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal.
Katanya, langkah itu penting bagi memberi ruang kepada kerajaan membuktikan keberkesanan dasar ekonomi, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat sebelum Parlimen dibubarkan pada penghujung 2027 atau awal 2028.
Baca juga:
Puad dakwa kenyataan Annuar Musa angkuh soal peranan PN
‘Kerjasama parti Sarawak dengan PH sukar berlaku pada PRN akan datang’- Ahmad Maslan- ‘Jangan menangis PKR’ – Hassan Karim
Menurut Hassan, tempoh antara 12 hingga 18 bulan akan datang juga diyakini mampu meredakan kekecewaan rakyat terhadap keputusan pilihan raya negeri, selain memberi peluang kepada pelaburan asing dan dasar ekonomi kerajaan menghasilkan impak positif kepada negara.
“Jika PRU16 diadakan pada 12 bulan hingga 18 bulan akan datang, keletihan rakyat sebagai pengundi akan beransur hilang dan momentum parti-parti lawan akan berkurangan kerana masa.Tidakkah “masa itu merawat luka”?
“Dari segi ekonomi pun baik bagi PKR dan PH jika ada tempoh yang panjang misalnya 12 hingga 18 bulan.Dalam waktu panjang itu, banyak pelaburan asing (FDI) yang baik-baik untuk negara ini boleh masuk.
Beliau berkata, Parlimen Ke-15 wajar dibubarkan hanya selepas rakyat melihat ekonomi negara benar-benar berada di landasan yang betul hasil pelaksanaan dasar-dasar ekonomi makro kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya percaya dalam tempoh setahun lebih ini sebelum PRU16, kegelisahan dan kemarahan rakyat akan reda apabila dasar-dasar ekonomi makro Anwar Ibrahim menghasilkan kesan yang melegakan rakyat di semua lapisan dan golongan.Ketika itu bubarkanlah Parlimen ke-15 apabila rakyat telah nampak ekonomi Malaysia sebenarnya berada di landasan yang betul,” katanya.
The post ‘Jangan menangis PKR’ – Hassan Karim appeared first on The Reporter.






