UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganggap kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai noktah perjuangan, malah yakin mampu kembali menguasai Putrajaya pada PRU16.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebangkitan semula UMNO-BN bukan sekadar angan-angan, sebaliknya berpaksikan pengalaman parti mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sepanjang sejarah penubuhannya.
“Pada tahun 2026 atau 2027, awal atau pertengahan atau akhir, Insya-Allah dewan ini akan menyaksikan UMNO dan BN berkuasa semula. Insya-Allah,” ujar beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Menurut Ahmad Zahid, sejarah membuktikan UMNO bukan parti yang mudah dikuburkan walaupun pernah kehilangan majoriti dua pertiga serta kerajaan Persekutuan pada 2018.
“Dewan ini juga telah menyaksikan bahawa pada tahun 2018 kita kehilangan dua pertiga majoriti. Pada tahun 2018, kita kehilangan kerajaan Persekutuan.
“Jangan ada sesiapa menganggap UMNO sudah berakhir,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak menjadikan perbezaan pandangan dalaman sebagai faktor yang melemahkan UMNO, sebaliknya menjadikan pengalaman lalu sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi isyarat bahawa ruang hubungan UMNO dan Pas semakin terbuka selepas beberapa pemimpin Pas hadir mengikuti PAU 2026.
“Saya menterjemahkan ini merupakan isyarat positif bahawa ruang persahabatan sedang terbuka dengan seluas-luasnya.
“Hubungan ini perlu diperkukuhkan dan bukan sekadar atas pertimbangan politik, tetapi demi perpaduan umat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mencari titik persamaan dan memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti.
“Insya-Allah kita akan mengadakan perbincangan dan terus berbincang dengan mereka,” katanya.







