
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan supaya berani mengambil tindakan berkenaan secara rasmi.
Beliau berkata, UMNO mempunyai asas yang kukuh dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak sepatutnya diperlakukan seolah-olah parti itu tidak mempunyai peranan dalam kerajaan ketika ini.
“Jangan minta kita keluar daripada kerajaan. Mereka (yang mahu UMNO keluar) daripada kerajaan kalau berani. Kalau berani, keluarlah cepat. Kalau berani, bubarlah cepat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan Malaysia terbentuk berdasarkan perjanjian persefahaman kerjasama yang melibatkan parti-parti politik bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.
Katanya, perjanjian itu turut jelas menyatakan kerjasama tersebut dibuat bagi pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Kerajaan Perpaduan Malaysia ini jadi sebab UMNO tahu. Perdana Menteri jadi Perdana Menteri sebab sokongan UMNO tahu,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, asas pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah 112 kerusi, sebelum jumlah sokongan kepada Kerajaan Perpaduan bertambah dengan penyertaan parti-parti lain.
Beliau berkata, sekiranya UMNO diminta meninggalkan kerajaan, asas pembentukan kerajaan berkenaan juga perlu dinilai semula.
“Jika kita diminta keluar, logiknya asas 112 kerusi pun telah tiada. Jadi wajarnya mandat baharu mesti diperoleh.
“Pilihan cuma ada dua. Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum. Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan laksanakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Ada berani ke?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu menyerahkan masa depan atau identitinya kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, kerjasama politik yang dibentuk adalah berasaskan amanah kenegaraan dan pematuhan kepada undang-undang demi memastikan kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat.
“Kerjasama mentadbir negara tidak bermakna menyerahkan masa depan parti. Kerjasama bukan penyerahan. Saya ulang, kerjasama bukan penyerahan.
“Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan identiti, berunding tanpa menggadaikan prinsip dan mencari persamaan sambil menghormati perbezaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Kalau berani, keluarkan kami cepat! – Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Online.






