
PETALING JAYA: Perubahan jadual lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tamil Nadu, India tidak wajar dipolitikkan atau disensasikan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, perubahan jadual berkenaan berpunca daripada kekangan masa memandangkan program Perdana Menteri sudah padat, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18 di New Delhi.
Beliau menepis dakwaan bahawa perubahan itu mempunyai kaitan dengan sebarang pertimbangan politik, malah menyifatkan laporan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab serta menggesa penyebaran maklumat palsu dihentikan segera.
“Ini adalah daripada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab, sebab itulah saya mahu merekodkan dan menjelaskan perkara ini supaya penyebaran berita palsu ini dikesampingkan,” katanya kepada media Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, jadual Anwar turut padat dengan pertemuan bersama pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.
Jelasnya, Anwar turut mengadakan perbincangan bersama tokoh perniagaan serta syarikat gergasi di negara berkenaan.
Malah, katanya, delegasi Malaysia akan meneruskan beberapa mesyuarat perniagaan hari ini sebelum menghadiri sidang kemuncak utama Pemimpin BRICS esok, disusuli lawatan Anwar ke Kerala dan seterusnya ke Maldives.
“Masalah utama yang kami hadapi adalah isu penjadualan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan penganjuran program di Tamil Nadu pada asalnya dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan Anwar antara New Delhi dan Kerala, namun jadual kedua-dua pihak akhirnya tidak dapat diselaraskan.
“Kedua-dua Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Perdana Menteri telah cuba menyusun tarikh dengan betul. Namun kita tidak dapat menyelaraskannya kerana terlalu banyak acara lain yang sedang berlangsung,” katanya. – UTUSAN
The post Jangan politikkan perubahan jadual Anwar di Tamil Nadu appeared first on Utusan Malaysia.






