
KUALA TERENGGANU: Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipinggirkan daripada menyertai mesyuarat Perikatan Nasional (PN) perlu dilihat berdasarkan isu yang timbul dalam Bersatu sendiri, kata Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, PN sebelum ini telah menghantar surat kepada Bersatu bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dibangkitkan berkaitan keabsahan organisasi parti itu.
“PN tidak mahu mesyuarat yang dibuat menjadi tidak sah apabila salah satu ahli komponennya dipertikai keabsahannya. Jadi, saya rasa ini adalah masalah dalaman Bersatu yang perlu mereka selesaikan sendiri dan tidak boleh menyalahkan PN atau mana-mana pihak dalam PN,” katanya.
Katanya, kedudukan Bersatu dalam PN juga akan dilihat berdasarkan perkembangan berkaitan status parti itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Kita tengok apa yang masih berlaku kepada kedudukan mereka dari segi ROS,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan meminta parti-parti komponen dalam PN supaya tidak mempertikai hak Bersatu sebagai anggota sah gabungan itu.
Beliau berharap selepas ini tidak ada mana-mana pihak dalam PN yang meminggirkan peranan Bersatu termasuk sehingga tidak dipanggil bermesyuarat seperti yang berlaku sebelum ini. – UTUSAN
The post Jangan salahkan PN Bersatu tidak dipanggil mesyuarat appeared first on Utusan Malaysia.






