
KUALA LUMPUR: UMNO Melaka perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO seluruh negara sudah bersedia untuk menggerakkan kekuatan bagi membantu jentera parti di Melaka menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Pilihan Raya Negeri Melaka bila-bila masa. Bergantung pada Datuk Rauf. Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama, diambil orang.
“Datuk Rauf, kami telah bersedia. Kami akan datang membantu Melaka seluruh tenaga UMNO seluruh negara. Buat elok-elok, pakat elok-elok. Mufakat biar bulat, berunding jangan selisih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di sini hari ini.
Mohamad berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan momentum kejayaan di negeri-negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberi bayangan, pembubaran akan dibuat dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya.-UTUSAN
The post ‘Jangan tunggu lama-lama PRN Melaka’ appeared first on Utusan Malaysia.






