
KUALA LUMPUR: Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menyebabkan UMNO berasa selesa sehingga mengabaikan usaha memperkukuh parti serta meraih keyakinan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, taklimat yang disampaikan kepada perwakilan selari dengan ucapan Presiden UMNO yang menggesa ahli-ahli parti supaya bersyukur atas kemenangan tersebut.
“Taklimat tadi selari dengan ucapan Presiden yang menggesa ahli-ahli supaya bersyukur atas kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka.
“Bagaimanapun, kemenangan itu tidak seharusnya menyebabkan kita berasa selesa. Sebaliknya, kita perlu terus membangunkan dan memperkukuh parti serta memastikan UMNO terus mendapat keyakinan rakyat,” katanya ditemui selepas Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Presiden UMNO turut memberikan garis panduan umum berhubung hala tuju parti yang wajar dibincangkan oleh para perwakilan sepanjang PAU.
Katanya, PAU merupakan platform tertinggi yang mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang bentuk kerjasama dan hala tuju parti dalam menghadapi pilihan raya.
“Perkara paling mustahak ialah hala tuju tersebut menjadi asas dalam mana-mana Perhimpunan Agung UMNO.
“Berdasarkan Perlembagaan UMNO, Perhimpunan Agung UMNO merupakan platform tertinggi yang mempunyai kuasa untuk menentukan apa juga bentuk kerjasama dan hala tuju parti dalam menghadapi pilihan raya serta perkara-perkara lain,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO pernah menggunakan platform kedua tertinggi parti, iaitu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ketika mahu membentuk Kerajaan Perpaduan.
Katanya, Perlembagaan UMNO memperuntukkan bahawa MKT boleh membuat keputusan ketika PAU tidak berlangsung, namun keputusan itu perlu mendapat pengesahan perhimpunan agung.
“Sebelum ini, ketika mahu mewujudkan Kerajaan Perpaduan, kita kembali kepada platform kedua tertinggi iaitu MKT.
“Bagaimanapun, keputusan tersebut akhirnya mesti diabsahkan dalam PAU. Semua itu merupakan ketertiban dalam sistem pentadbiran dan pengoperasian UMNO yang sudah berusia 80 tahun,” katanya. –UTUSAN
The post Kemenangan PRN Johor, N. Sembilan bukan alasan UMNO untuk selesa appeared first on Utusan Malaysia.






