Taklimat Presiden UMNO tekan kepentingan solidariti, gerak kerja jentera

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 9:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Taklimat Presiden UMNO tekan kepentingan solidariti, gerak kerja jentera

Ahmad Zahid gesa UMNO kukuhkan solidariti, jentera dan keyakinan rakyat serta elak rasa selesa selepas kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Memperkukuh solidariti, memperkemas gerak kerja jentera dan terus mendekati rakyat menjadi mesej teras Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sesi taklimat hari ini dalam memastikan kebangkitan semula parti itu pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Ahmad Zahid menggesa anggota parti supaya mensyukuri kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, namun tidak menjadikannya alasan untuk berasa selesa.

“… dan wajar untuk kita terus bangunkan parti, kuatkan parti, dan pastikan parti terus mendapat keyakinan daripada rakyat,” katanya yang juga Menteri Pertahanan ketika ditemui selepas taklimat Presiden bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya tidak bersikap sombong susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua PRN berkenaan.

Beliau berkata kemenangan itu tidak bermakna BN akan terus menang pada pilihan raya akan datang, sebaliknya parti perlu terus bekerja keras bagi meyakinkan rakyat serta memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Jangan sombong, kita terus buat kerja. Kita kena meyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional ini telah banyak benda yang kita dah belajar dan kita akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang kita ada,” katanya yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata amanat  Presiden pada sesi taklimat itu menjurus kepada usaha memperkukuh solidariti dalam kalangan pimpinan parti bagi menghadapi cabaran politik yang semakin dinamik.

Beliau berkata taklimat berkenaan sememangnya menjadi tradisi sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula, dan menjadi platform bagi presiden menyampaikan amanat serta hala tuju kepada barisan pimpinan parti.

“Antara mesej jelas yang disampaikan presiden ialah keperluan untuk semua pimpinan memperkukuh  solidariti bagi membolehkan kita menghadapi cabaran yang semakin besar dalam politik yang semakin dinamik,” katanya.

Seorang lagi Ahli MT UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada perbincangan khusus mengenai formula atau kerjasama muafakat luar disentuh pada sesi taklimat tertutup berkenaan.

Beliau berkata keutamaan sebaliknya diberikan sepenuhnya kepada keharmonian perjalanan mesyuarat, garis panduan parti, serta memperkemas gerak kerja jentera dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

“Saranan Presiden seperti biasa sebelum PAU hanya melibatkan panduan-panduan parti sahaja. Mengenai muafakat, kita hanya fokus kepada perkara berkaitan perjalanan mesyuarat ini,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pesanan serta mandat yang disampaikan Presiden UMNO memberikan penekanan khusus kepada perpaduan dalaman sebagai syarat utama kejayaan parti.

Beliau berkata arahan berkenaan amat penting sebagai persediaan jentera mendepani pelbagai siri pilihan raya, termasuk PRN dan PRU.

“Tidak mustahil untuk kita ulang kejayaan besar kita di Johor dan Negeri Sembilan dengan syarat adanya solidariti dan perpaduan dalam kalangan jentera serta pimpinan UMNO pada semua peringkat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved