Jati Tinggi beri jaminan operasi kekal lancar meskipun harga saham lemah

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jati Tinggi beri jaminan operasi kekal lancar meskipun harga saham lemah Image from: Jati Tinggi beri jaminan operasi kekal lancar meskipun harga saham lemah hamden13/10/2026 - 18:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - Jati Tinggi Group Bhd (JTGROUP) memberi jaminan operasi perniagaannya kekal berjalan mengikut perancangan dan pelaksanaan projek tidak terjejas meskipun harga sahamnya mengalami kelemahan baru-baru ini.

 

Syarikat kejuruteraan utiliti elektrik itu dalam kenyataan berkata, kelemahan saham itu berikutan ketidaktentuan pasaran berkaitan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

 

Kumpulan itu menegaskan tiada perubahan material terhadap operasi perniagaan atau pelaksanaan projek, sekali gus mengekalkan fokus terhadap aktiviti terasnya dalam kejuruteraan infrastruktur tenaga.

 

Menurut Jati Tinggi lagi, sentimen pasaran kebelakangan ini dipengaruhi kebimbangan yang semakin meningkat berhubung pelaburan infrastruktur AI global serta keperluan pembiayaannya, yang turut memberi kesan kepada prestasi saham syarikat dalam sektor teknologi dan pusat data.

 

Prospek perniagaan kukuh disokong buku tempahan RM1.1 bilion

Bagaimanapun, kumpulan itu kekal yakin terhadap prospek perniagaannya, disokong buku tempahan tertunggak kira-kira RM1.1 bilion yang menyediakan keterlihatan pendapatan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

 

Jati Tinggi berkata, sektor infrastruktur tenaga Malaysia terus menerima sokongan daripada pelaburan berterusan dalam peluasan dan pemodenan grid elektrik, khususnya peruntukan perbelanjaan modal Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjumlah RM42.8 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).

 

Peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data, pembangunan perindustrian dan integrasi tenaga boleh baharu turut dijangka menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang sektor berkenaan.

 

Dalam persekitaran itu, Jati Tinggi kekal memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya yang merangkumi pemasangan kabel bawah tanah, talian penghantaran atas, pencawang serta kerja-kerja infrastruktur elektrik berkaitan.

 

Kumpulan itu berkata, fokus berkenaan membolehkannya terus menumpukan perhatian kepada pelaksanaan projek sedia ada serta memanfaatkan peluang daripada pembangunan infrastruktur tenaga negara.

 

Melangkah ke hadapan, Jati Tinggi kekal komited untuk memastikan projek sedia ada disiapkan mengikut jadual, selain memperkukuh keupayaannya bagi merebut peluang pertumbuhan dalam sektor infrastruktur tenaga Malaysia.

 

Kumpulan itu menegaskan buku tempahan tertunggak dan kesinambungan pelaksanaan projek kekal menjadi asas kepada keyakinannya terhadap prospek perniagaan, meskipun pasaran saham berdepan ketidaktentuan semasa.

 

Sementara itu, dalam dagangan hari ini, saham Jati Tinggi ditutup pada paras RM1.30, menyusut sebanyak 7.14% (-RM0.10) daripada harga penutup semalam (RM1.40). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved