Jatuh Ketika Redah Jeram, Lelaki Maut Semasa Aktiviti Water Rafting

17 Jan 2026 • 10:13 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai lemas akibat terjatuh ketika menyertai aktiviti water rafting di kawasan Sapulut, di sini, tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Ramli Mayakin, berusia sekitar 40-an, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel berkaitan: ⁠Lelaki Maut Dalam Kemalangan, Motosikal Hilang Kawalan Ketika Dikejar Anjing

Menurut kenyataan itu, pihak JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah hari sebelum menggerakkan seramai 12 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 53 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Nabawan.

Pasukan penyelamat berdepan cabaran untuk tiba ke lokasi berikutan keadaan laluan yang sempit serta tidak berturap. Setibanya di tempat kejadian, mangsa telah ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri”

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat yang turut melibatkan PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.