Sukma 2026: Sabrina hampir padam rekod berusia 16 tahun

19 Aug 2026 • 6:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Sabrina hampir padam rekod berusia 16 tahun

SERDANG – Sokongan keluarga menjadi pembakar semangat buat atlet lompat tinggi Johor, Nur Sabrina Najwa Efrudin apabila dia memperbaharui rekod peribadi terbaik (PB) tiga kali sebelum hampir meleburkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) yang berusia 16 tahun pada Sukma Selangor 2026, hari ini.

Pada aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) tersebut, Sabrina berjaya melakukan lompatan 1.72 meter (m) untuk meraih pingat emas sekali gus memperbaiki catatan terbaiknya sebelum ini iaitu 1.63m.

Lebih manis, ibu bapanya hadir dari jauh untuk memberi sokongan bagi menyaksikan aksi berkenaan, sekali gus menjadi pencetus semangat buat Sabrina menghasilkan lompatan terbaik dalam kariernya.

Atlet kelahiran Batu Pahat itu terlebih dahulu memperbaharui PB kepada 1.66m dan 1.69m sebelum melakukan lompatan 1.72m bagaimanapun, cubannya untuk memadam rekod Sukma milik Nurliyana Kamaruddin iaitu 1.75 meter (m) yang dilakar pada 2010 dengan menaikkan palang ke paras 1.76m tidak berhasil.

“Saya sebenarnya tidak menjangka dapat mencipta rekod peribadi hari ini, tetapi saya sentiasa fikirkan ibu bapa yang datang dari jauh untuk menyaksikan saya bertanding.

“Saya mahu buktikan kemampuan saya dan tanpa mereka, saya rasa saya tidak akan dapat mencipta rekod peribadi ini,” katanya.

Kejayaan itu menjadi kebangkitan besar buat atlet kelahiran Batu Pahat itu selepas sekadar menduduki tempat ketujuh pada Sukma Sarawak 2024 dengan lompatan 1.55m.

Sabrina berkata, kejayaan memperbaharui PB sebanyak tiga kali di hadapan ibu bapanya memberikan kepuasan besar, namun dia masih menyimpan impian untuk memecahkan rekod kejohanan pada penampilan Sukma seterusnya di Kelantan 2028.

“Untuk rekod kejohanan, saya masih ada satu lagi Sukma dan saya akan usahakan,” katanya.

Pingat perak acara lompat tinggi wanita menjadi milik atlet Sabah, Ku Yee Aleng dengan lompatan 1.66m, manakala Chloe Then Shian Yee dari Sarawak meraih gangsa selepas mencatatkan 1.62m. -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Sabrina hampir padam rekod berusia 16 tahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved