JDT tampil jersi baharu, belang Harimau jadi identiti

16 Aug 2026 • 12:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: JDT tampil jersi baharu, belang Harimau jadi identiti

JOHOR BAHRU – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan jersi ‘Home’ dan ‘Away’ baharu bagi musim 2026/27 yang mengekalkan identiti Harimau Selatan, selain meneruskan kerjasama bersama Nike untuk tahun ke-12.

Jersi berkenaan dilancarkan dalam satu majlis bersama penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam, dengan kehadiran beberapa tonggak utama JDT.

Bagi musim baharu, JDT memperkenalkan tiga rekaan iaitu ‘Home’, ‘Away’ dan ‘Alternate’, dengan jersi ‘Alternate’ rona merah jambu terlebih dahulu diperkenalkan pada 1 Ogos lalu dan dipakai ketika aksi persahabatan menentang Chelsea.

Jersi ‘Home’ mengekalkan warna tradisi Johor menerusi gabungan rona biru ‘Blue Void’ dan ‘Deep Royal Blue’, selain corak belang Harimau yang menjadi simbol kebanggaan kelab.

Rekaan itu turut dilengkapi kemasan merah ‘Sport Red’ pada bahagian hujung lengan dan sisi jersi, sekali gus memberikan penampilan lebih garang dan menyerlah.

Sementara itu, jersi ‘Away’ hadir dengan rekaan serba putih yang diserikan jalur biru ‘Blue Void’ pada hujung lengan dan sisi bagi menghasilkan kontras yang lebih elegan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pihaknya teruja memperkenalkan jersi baharu itu ketika Harimau Selatan bersiap mengharungi saingan domestik, serantau dan benua.

“Pelancaran jersi ini turut menandakan kerjasama jangka panjang kami bersama Nike yang sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi dalam menghasilkan jersi menakjubkan buat kami.

“Saya percaya kerjasama jangka panjang bersama Nike ini mencerminkan kepercayaan mereka terhadap visi dan hala tuju JDT,” katanya.

Menariknya, kempen pelancaran jersi kali ini turut mengambil inspirasi daripada sifat semula jadi harimau dalam mempertahankan wilayahnya.

Video berdurasi 56 saat yang menampilkan pemain JDT memperagakan jersi ‘Home’ dan ‘Away’ itu menggambarkan tekanan serta persaingan yang perlu dihadapi Harimau Selatan sebagai juara bertahan.

Jersi berkenaan turut menampilkan logo JMYR di bahagian hadapan, manakala logo Rakan Mobiliti Rasmi JDT, UMW Toyota Motor, ditempatkan di bahagian belakang dan logo JCorp di hujung kiri lengan.

Dari aspek teknologi, jersi baharu itu menggunakan teknologi Nike Dri-FIT yang menggabungkan fabrik penyerap peluh dengan panel jejaring beraliran udara bagi memastikan pemakai kekal ringan, kering dan selesa.

Bagi penyokong yang mahu mendapatkan jersi berkenaan, jersi ‘Home’ dan ‘Away’ dijual pada harga RM299 sehelai, manakala ‘Alternate’ RM189 dan ‘Home Youth’ RM235.

Jersi ‘Home’ dan ‘Away’ tersedia dalam saiz S hingga 3XL, manakala ‘Home Youth’ ditawarkan daripada saiz XS hingga XL menerusi JDT Online Store atau JDT Direct Megastore, Stadium Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

The post JDT tampil jersi baharu, belang Harimau jadi identiti appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved