Jeffrey dakwa politik wang kembali berleluasa

LocalPolitics
27 Oct 2025 • 11:55 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendakwa terdapat cubaan oleh pihak tertentu di peringkat Persekutuan untuk melemahkan partinya menjelang Pilihan Raya Sabah pada 29 Nov ini dengan menawarkan wang tunai kepada ketua bahagian supaya berpaling tadah.

Jeffrey berkata pihaknya menerima laporan bahawa beberapa ketua bahagian telah dipanggil menghadiri satu mesyuarat di mana mereka diminta keluar parti dan ditawarkan sejumlah wang sebagai balasan.

“Ini bermakna politik wang kembali berleluasa, dan saya yakin ia akan terus berlaku.

“Mereka menggunakan wang untuk membeli pemimpin kita, terutama yang bukan calon. Saya juga tidak menolak kemungkinan calon-calon akan ditawarkan wang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Jeffrey mendakwa dua laporan awal sudah diterimanya melibatkan dua kawasan dan ini menunjukkan budaya politik wang masih digunakan oleh pihak tertentu di peringkat pusat.

“Inilah yang berlaku dahulu dan masih berlaku sekarang. Kuala Lumpur masih memainkan politik ‘cash is king’. Saya amat kecewa mendengarnya,” dakwanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Sabah agar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan terperangkap dalam permainan politik wang kerana kesannya akan merugikan negeri itu sendiri.

“Saya ingin memberi amaran kepada rakyat Sabah supaya tidak mengulangi kesilapan ini.

“Jangan terpedaya dengan taktik mereka kerana apabila Sabah menjadi lebih mundur dan jatuh semula ke tangan parti-parti nasional, generasi akan datang akan mengutuk kesilapan itu,” katanya.

Jeffrey menegaskan perjuangan sebenar perlu datang daripada rakyat yang berani mempertahankan hak Sabah serta memastikan kuasa politik kekal di tangan parti tempatan.

“Lupakan seketika soal pemimpin. Saya harap rakyat biasa akan bangkit kali ini, berdiri dan dihitung.

“Pastikan kuasa dikembalikan kepada parti dan pemimpin tempatan supaya hak politik kekal di Sabah dan negeri ini ditadbir oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya.