
Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyokong seruan Tan Sri Anifah Aman supaya toleransi dan layanan adil diberikan berhubung cadangan konsert Israel Houghton di Kota Kinabalu.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata pendirian berkenaan penting bagi memelihara sikap saling menghormati yang menjadi asas masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama, meraikan perayaan masing-masing dan menghormati amalan agama antara satu sama lain sejak turun-temurun. Keharmonian ini merupakan kekuatan yang mesti kita pelihara,” katanya.
Jeffrey mengingatkan semua pihak mengenai ikrar pada Batu Sumpah Keningau: “Kerajaan Malaysia Menjamin — Kebebasan Beragama di Sabah”.
Katanya, ikrar itu mencerminkan penekanan rakyat terhadap kebebasan beragama dan sikap saling menghormati dalam pembentukan Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa ikrar berkenaan perlu menjadi panduan kepada kepimpinan dan layanan terhadap setiap komuniti beragama, termasuk menghormati hak penganut Kristian untuk berkumpul dan menzahirkan kepercayaan mereka secara aman, tertakluk kepada undang-undang.
Menurut Jeffrey, acara itu merupakan konsert gospel untuk penonton Kristian. Kebimbangan mengenai pandangan politik penyanyi berkenaan perlu dinilai secara adil berdasarkan meritnya sendiri, tanpa menimbulkan prasangka terhadap amalan keagamaan masyarakat Kristian di Sabah.
“Membenarkan persembahan muzik tidak semestinya bermakna menyokong setiap pandangan politik yang disuarakan oleh penghibur berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Palestin tidak bercanggah dengan penghormatan terhadap ibadah dan kebebasan beragama masyarakatKristian. Kedua-duanya boleh dipertahankan tanpa membenarkan pertikaian politik antarabangsa memecahbelahkan masyarakat tempatan.
Jika terdapat kebimbangan mengenai provokasi, Jeffrey berkata pihak berkuasa mesti menetapkan syarat yang jelas, termasuk pematuhan kepada undang-undang, menghormati sensitiviti tempatan dan memastikan konsert itu tidak digunakan sebagai pentas untuk melakukan provokasi.
“Dengan syarat keperluan itu dipenuhi, saya menyokong konsert berkenaan diteruskan,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa menerapkan piawaian yang konsisten terhadap acara seumpama itu. Katanya, keputusan mesti berdasarkan bukti, keselamatan awam dan pematuhan undang-undang, manakala identiti agama penyanyi atau penonton tidak boleh menjadi alasan untuk layanan tidak sama rata.
Jeffrey menggesa semua pihak bersabar dan menyelesaikan perkara itu melalui dialog.
“Rakyat Sabah telah membina sebuah masyarakat yang perbezaan agama tidak menghalang kita daripada menjadi jiran, sahabat dan keluarga. Kita mesti memastikan semangat ini terus berkekalan.
“Saya bersama Anifah dalam menolak sikap tidak bertoleransi terhadap agama. Marilah kita menghormati ikrar Batu Sumpah Keningau dan melindungi keharmonian Sabah melalui keadilan, sikap saling menghormati dan kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya.


.jpg)
.jpg)

