Jelaskan pembentukan kerajaan awal

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jelaskan pembentukan kerajaan awal

KUALA LUMPUR: Pas dan UMNO perlu menjelaskan lebih awal bentuk kerajaan yang bakal dibentuk sekiranya mencapai persefahaman menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengundi bukan sahaja mahu mengetahui calon dan parti yang dipilih, tetapi juga siapa yang akan membentuk serta mentadbir kerajaan selepas pilihan raya.

Penganalisis politik USM, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kejelasan mengenai rakan gabungan, kepimpinan dan agenda utama kerajaan penting bagi membina keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“Pengundi bukan sahaja ma­hu tahu siapa yang mereka undi, tetapi juga kerajaan apa yang akan terbentuk selepas mereka mengundi.

“Tanpa kejelasan, persefahaman kerusi boleh dilihat sebagai kerjasama taktikal semata-mata. Ia boleh dilakukan secara berterusan dan telus untuk elak kekeliruan.

“Masing-masing jangan sekadar bersedia untuk menang PRU 16, tetapi mesti bersedia untuk memerintah. Pengundi bukan hanya mahu tahu siapa yang menang, mereka mahu tahu siapa yang akan mentadbir Malaysia selepas kemenangan itu,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan Pas perlu bersedia menuju PRU16 dan tidak boleh hanya tertumpu kepada usaha memenangi kerusi, sebaliknya Pas perlu bersedia mentadbir sekiranya diberikan amanah lebih besar oleh rakyat.

Wakil Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, parti itu memerlukan pemimpin, profesional, teknokrat, pakar dan pelaksana yang memahami bidang masing-masing dalam mengurus tadbir pemerintahan.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Pas dan UMNO perlu memperbanyakkan muzakarah bagi mencapai persefahaman lebih mendalam, termasuk me­ngenai pembentukan kerajaan dan pelan pembangunan negara.

“Kedua-dua parti perlu menjelaskan lebih awal dalam manifesto masing-masing mengenai bentuk kerajaan yang bakal dibentuk sekiranya memperoleh majoriti pada pilihan raya akan datang.

“Perbincangan mendalam per­­lu dilakukan untuk merangka satu bentuk kerajaan yang boleh mereka bina, di mana UMNO dan Pas dapat memainkan peranan dengan lebih baik dalam pembentukan kerajaan apabila menang pilihan raya akan datang.

“Ertinya, UMNO dan Pas mesti bersedia dan mempunyai satu persefahaman yang lebih jauh serta mendalam, bukan hanya sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi juga mengenai pembentukan kerajaan selepas memenanginya,” katanya. – UTUSAN

The post Jelaskan pembentukan kerajaan awal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved