Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

“Jenazah anak saya sempurna, namun kena fahamlah apabila terbabit dalam kebakaran.”
Itu kata bapa kepada Dr Ainul Baraah selepas dimaklumkan pihak berkuasa mengenai keadaan jenazah anaknya yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, kelmarin.
Menurut Kamaruddin Salleh, 69, jenazah anaknya dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok selepas urusan forensik selesai.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Al-Karamah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Kedeper.
“Semalam, kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa jenazah anak serta yang lain sudah ditemui dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) juga sudah diambil.
“Pihak polis juga meminta kami tidak melihat jenazah terlebih dahulu sebelum urusan selesai. Mungkin hari ini kami akan dipanggil ke Hospital Miri,” katanya.

Artikel berkaitan: “Saya bawa berus gigi, sikat…” – Bapa Serah Barangan Peribadi Dr Ainul Untuk Ujian DNA
Artikel berkaitan: “Pernah terbang sekali masa PRU15…” – PMX Luah Rasa Sebak, Hubungi Bapa Allahyarham Kapten Zainol
Dalam pada itu, pesara guru terbabit meluahkan rasa syukur selepas kesemua lima mangsa yang terkorban berjaya ditemui.
Katanya, dia pada mulanya berdebar selepas menerima maklumat awal yang memaklumkan hanya empat mangsa ditemui.
Namun, perasaan itu bertukar lega selepas pihak berkuasa mengesahkan kesemua mangsa sudah ditemukan.
“Apabila jasad anak ditemui, saya bersyukur kerana sebelum ini macam-macam kita fikir memandangkan mereka terhempas dari ketinggian yang tinggi.
“Alhamdulillah semua urusan operasi semalam berjalan lancar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan identiti kesemua lima mangsa nahas helikopter yang terhempas dan terbakar itu berjaya dikenal pasti pihak berkuasa melalui barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Layang-Layang Aerospace, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, serta Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33.
Turut maut ialah dua Jururawat Masyarakat (SN), Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, serta Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry, 31.
Sumber: Buletin TV3
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






