Jenazah Mangsa Serangan Harimau Selamat Dikebumikan

LocalEnvironment
23 Sep 2026 • 8:26 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Jenazah Mangsa Serangan Harimau Selamat Dikebumikan

SUNGAI SIPUT – Jenazah lelaki Orang Asli, Zamberi Angah, yang maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, selamat dikebumikan.

Momen pengebumian itu turut dikongsikan seorang sahabat Allahyarham menerusi Threads, @nixamrahman, memperlihatkan penduduk kampung bersama-sama membantu urusan pengebumian mangsa di kawasan perkuburan.

Saat Terakhir Seorang Ayah

Perkongsian tersebut memberi gambaran suasana ketika keluarga dan penduduk kampung mengiringi mangsa ke tempat persemadian.

Zamberi, 42, sebelum ini dilaporkan maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika masuk ke kawasan Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan.

Mayat mangsa ditemukan pada kira-kira 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, sekitar 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan. Kesan tapak kaki harimau serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di lokasi.

Lebih menyayat hati, anak mangsa sebelum ini menceritakan bagaimana dia terdengar jeritan bapanya sebelum berpaling dan melihat harimau menarik bapanya pergi.

Perhilitan Pasang Perangkap Harimau

Dalam perkembangan terbaru, anggota Perhilitan dengan bantuan RELA telah memasang perangkap harimau di Kampung Takung, Pos Perwor, susulan kejadian tersebut.

Penduduk dan orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kehadiran harimau serta tidak mengambil sebarang tindakan sendiri jika terserempak dengan haiwan berkenaan.

Video yang dikongsikan sahabat Allahyarham itu kini menjadi antara rakaman terbaru yang memperlihatkan suasana pengebumian mangsa selepas tragedi yang meragut nyawanya.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan. – The Malaysian Update

The post Jenazah Mangsa Serangan Harimau Selamat Dikebumikan appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved