
PETALING JAYA – Pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian, termasuk mengenal pasti tanda-tanda kehadiran harimau belang susulan insiden serangan haiwan liar itu di Sungai Siput (U) Perak semalam.
Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat serta mengambil langkah pemasangan perangkap di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
“Tindakan pengurusan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan penilaian risiko terhadap keselamatan penduduk.
“Walau bagaimanapun, Jabatan Perhilitan ingin menegaskan bahawa siasatan masih sedang dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian, termasuk mengenal pasti punca, keadaan sebenar kejadian dalam insiden tersebut.
“Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperolehi di lapangan,” katanya hari ini.
Jabatan Perhilitan memandang serius kejadian ini memandangkan ia melibatkan aspek keselamatan dan nyawa penduduk setempat.
“Kerjasama dan penyelarasan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Negeri serta komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah keselamatan dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Pada masa sama, penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelakkan memasuki kawasan hutan atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin telah
dikesan.
“Sekiranya terdapat penampakan atau tanda-tanda kehadiran harimau belang, termasuk kesan tapak kaki, bunyi ngauman atau penemuan bangkai haiwan disyaki menjadi mangsa, orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri lokasi tersebut.
“Segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi Jabatan, www.wildlife.gov.my,” katanya.
Mengulas lanjut, Jabatan Perhilitan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku.
“Jabatan akan terus mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan dan penilaian risiko bagi mengurangkan risiko konflik manusia-hidupan liar serta memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti di kawasan berisiko sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di Kampung Takung, Pos Perwor, semalam.
Mayat mangsa, Zamberi Angah, 43, ditemukan pada pukul 6:58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak. – KOSMO! ONLINE
The post Perhilitan buru jejak ‘pak belang’ serang Orang Asli appeared first on Kosmo Online.






