
SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 3 petang ini.
Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178, diikuti Shah Alam (171), Banting (170), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (142).
Segamat, Johor pula mencatatkan bacaan IPU tertinggi negara iaitu 190, disusuli Seremban, Negeri Sembilan (186), Nilai (185) dan Kluang, Johor (181).
Rompin, Pahang turut merekodkan bacaan 178, menyamai Johan Setia, manakala Putrajaya mencatatkan bacaan 175.
Antara kawasan lain yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Cheras, Kuala Lumpur, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka yang masing-masing merekodkan bacaan 174, selain Pasir Gudang serta Tangkak, Johor (173).
Sementara itu, 30 lagi kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menasihatkan supaya sekolah di kawasan terjejas jerebu ditutup susulan bacaan IPU antara 150 hingga 180 yang berpanjangan.
Seri Paduka Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.
Baginda bertitah aspek keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar perlu diberi keutamaan, selain meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).






