Jerebu: 63 sekolah di Bintulu, Tatau ditutup

LocalEnvironment
5 Sep 2026 • 10:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: 63 sekolah di Bintulu, Tatau ditutup

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 63 sekolah lagi di Sarawak akan ditutup sementara dari 7 hingga 11 September susulan jerebu, menjadikan keseluruhan 710 sekolah terlibat.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan tambahan itu membabitkan 54 sekolah rendah dengan 22,476 murid serta sembilan sekolah menengah melibatkan 17,268 murid di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan PPD Tatau/Sebauh.

“Berdasarkan pemantauan berterusan dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 8.00 malam, JPN Sarawak memutuskan penutupan sementara 54 buah sekolah rendah (22,476 orang murid) dan 9 buah sekolah menengah (17,268 orang murid) di bawah seliaan PPD Bintulu dan PPD Tatau/Sebauh pada 7 hingga 11 September 2026.

“Secara keseluruhannya, keputusan penutupan sementara sekolah-sekolah pada 7 hingga 11 September 2026 melibatkan 617 buah sekolah rendah (130,953 orang murid) dan 93 buah sekolah menengah (107,350 orang murid) di bawah seliaan 14 PPD yang terjejas oleh fenomena jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016; Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016,” katanya.

Pada masa sama, pihak sekolah diminta terus mematuhi prosedur operasi standard serta mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid serta guru.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” katanya.

Institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak turut dinasihatkan memantau perkembangan semasa menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) serta mematuhi garis panduan berkaitan aktiviti luar.

“JPN Sarawak amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved