
PETALING JAYA: Keadaan jerebu di seluruh negara dijangka terus beransur pulih apabila Monsun Timur Laut bermula esok, sekali gus mengubah arah pergerakan angin yang sebelum ini membawa jerebu merentas sempadan ke Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, perubahan arah angin sejak semalam menyebabkan keadaan jerebu di kebanyakan kawasan bertambah baik, kecuali di Sarawak.
“Keadaan cuaca berjerebu sudah mula pulih sejak semalam berikutan perubahan arah pergerakan angin di negara kita, kecuali di Sarawak.
“Dengan bermulanya musim Monsun Timur Laut esok, pergerakan angin yang berterusan dari timur laut akan menyebabkan jerebu dari negara jiran tidak lagi bergerak ke arah negara kita,” katanya.
Setakat pukul 7 pagi tadi, sebahagian besar kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik atau sederhana, selaras dengan trend pemulihan keadaan jerebu.
Mohd Hisham berkata, cuaca lembap dijangka berlaku di kebanyakan kawasan sepanjang minggu ini susulan permulaan Monsun Timur Laut.
“Hujan dijangka berlaku pada awal pagi di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, manakala hujan lebat beserta ribut petir diramal pada sebelah petang dan malam di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Pada 23 Oktober lalu, MetMalaysia memaklumkan Monsun Timur Laut bagi musim 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac 2027.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku antara November hingga Januari, yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai. – UTUSAN
The post Jerebu dijangka beransur pulih susulan Monsun Timur Laut appeared first on Utusan Malaysia.






