
BATU PAHAT – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah ini beransur pulih apabila bacaan menunjukkan penurunan ketara pagi ini berbanding malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat memaklumkan bacaan IPU yang dicerap setiap dua jam mencatatkan 195 pada pukul 7 pagi sebelum menurun kepada 190 pada pukul 9 pagi.
Semalam, bacaan IPU pada pukul 8 malam direkodkan pada paras 203, iaitu dalam kategori sangat tidak sihat. Bagaimanapun, bacaan pagi ini masih berada pada tahap tidak sihat.
JPBD Batu Pahat sebelum ini memaklumkan seluruh daerah berkenaan terlibat dengan penutupan sekolah susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Susulan itu, pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.
Pelaksanaan PdPR adalah tertakluk kepada arahan serta garis panduan yang sedang berkuat kuasa. Pihak sekolah juga perlu memaklumkan kaedah PdPR, tugasan murid dan saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga menerusi saluran rasmi sekolah.
JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: IPU di Batu Pahat beransur pulih appeared first on Kosmo Online.






