
BALING – Seorang pesakit disyaki mengalami masalah kesihatan mental yang melarikan diri dari Hospital Baling ditemukan di kawasan Gunung Baling, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.02 malam tadi.
Katanya, hasil maklumat diterima, pesakit terbabit dipercayai berada di sekitar kawasan kubur lama, Kampung Lubuk Pedati, di sini.
“Susulan itu, satu operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan melibatkan seramai 23 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Hasil operasi, pesakit ditemukan dan berjaya dibawa turun dari kawasan Gunung Baling pada pukul 1.25 pagi tadi,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pesakit kemudian dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Pesakit mental lari hospital ditemui di Gunung Baling appeared first on Kosmo Online.






