
Baru-baru ini saya terbaca satu laporan dalam portal Indonesia mengenai gesaan supaya Malaysia dan Singapura tidak ‘marah’ kepada Indonesia berhubung isu jerebu yang melanda rantau ini.
Sebaliknya, kedua-dua negara jiran itu diminta bersama-sama membantu mencari penyelesaian bagi menamatkan masalah jerebu.
Saya tertanya-tanya juga, perlu ke minta Malaysia dan Singapura jangan marah?
Isunya bukan soal marah atau tidak. Masalahnya, jerebu rentas sempadan ini bukan perkara baharu. Ia sudah berlaku bertahun-tahun dan setiap kali musim kering tiba, kita seolah-olah sudah boleh jangka bila episod jerebu akan muncul lagi.
Tahun ini pun sama. Kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia menyebabkan asap tebal merebak ke negara jiran. Keadaan sehingga menjejaskan kualiti udara dan memaksa ratusan sekolah di Sarawak ditutup, sekali gus memberi kesan kepada 200,000 pelajar.
Jadi, apabila udara mula berbau asap, langit bertukar kelabu dan bacaan kualiti udara semakin membimbangkan, siapa yang tidak risau?
Bagi ibu bapa, persoalannya mudah. Anak nak pergi sekolah pun kita mula fikir dua tiga kali. Aktiviti sukan dan kegiatan luar terpaksa dikurangkan. Hendak keluar berjoging pun mungkin terpaksa lupakan dahulu.
Bukan pendidikan sahaja terjejas. Kesihatan, penerbangan, pelancongan, perniagaan dan pelbagai aktiviti harian turut menerima tempias apabila jerebu menjadi semakin teruk.
Sebab itu, isu ini bukan sekadar soal Malaysia atau Singapura ‘marah’ kepada Indonesia. Ini soal kehidupan berjuta-juta penduduk yang turut terkesan apabila asap merentasi sempadan.
Malah, Malaysia dan Indonesia kini sudah meningkatkan usaha bersama termasuk operasi pembenihan awan bagi menangani keadaan jerebu. Indonesia juga membenarkan agensi Malaysia menjalankan operasi tersebut di ruang udaranya.
Maknanya, kerjasama itu memang boleh dilakukan. Tetapi persoalan lebih besar ialah, sampai bila kita mahu mengulangi perkara sama?
Setiap tahun kita bercakap mengenai pencegahan, kerjasama serantau, penguatkuasaan dan penyelesaian jangka panjang. Namun apabila musim kering kembali, masalah yang sama muncul semula.
Terbaharu, Indonesia sendiri sudah mengambil tindakan dengan menahan 72 individu yang disyaki terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah. Itu satu langkah yang baik, tetapi tentunya usaha tidak boleh berhenti setakat menangkap mereka yang menyalakan api.
Malaysia dan Singapura memang boleh membantu. Malah, sudah banyak kali bantuan dan kerjasama ditawarkan. Malaysia sudah merdeka 69 tahun, namun isu jerebu masih belum ‘bebas’.
Daripada minta kami jangan melatah, mungkin Indonesia perlu bertindak lebih tegas dengan rakyat sendiri.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.
The post Jerebu: Kenapa Malaysia tidak boleh marah? appeared first on Utusan Malaysia.





