
KUALA LUMPUR - Putrajaya dan Cheras, selain sembilan kawasan di Sarawak, mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi tadi.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Putrajaya merekodkan bacaan IPU 114, manakala Cheras mencatatkan 102.
Di Sarawak pula, Serian IPD merekodkan bacaan tertinggi iaitu 195, diikuti Kuching (172), Samarahan (171), Sarikei (161) dan Bintulu (157).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman dengan 157, Samalaju (153), Sibu (151) dan Miri (130).
Sementara itu, Johan Setia yang sebelum ini turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, kini berada dalam kategori sederhana dengan bacaan 98 pagi ini.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, manakala bacaan 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana.
Bacaan antara 101 hingga 200 pula menunjukkan tahap tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara. - Getaran, 12 Ogos 2026






