
KUALA LUMPUR - Sekolah di lima negeri akan beroperasi seperti biasa esok meskipun keadaan jerebu masih berlarutan, namun beberapa langkah berjaga-jaga perlu dilaksanakan bagi melindungi kesihatan murid dan warga sekolah.
Di Negeri Sembilan, pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) ditangguhkan susulan keadaan kualiti udara yang tidak menggalakkan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan, pihak sekolah perlu menetapkan tarikh baharu bagi peperiksaan berkenaan.
Penangguhan itu turut membabitkan peperiksaan dalaman sekolah manakala semua aktiviti luar bilik darjah juga perlu dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Di Selangor, murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka dan semua aktiviti luar perlu ditangguhkan.
Pihak sekolah juga diminta sentiasa memantau bacaan IPU bagi memastikan murid yang mempunyai risiko kesihatan lebih tinggi mendapat perhatian sewajarnya.
JPN Selangor turut memaklumkan, ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak mereka boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, dengan syarat pihak sekolah dimaklumkan terlebih dahulu.
Di Melaka, pihak sekolah perlu merujuk bacaan kualiti udara yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mengambil langkah sewajarnya, khususnya bagi melindungi murid yang mudah terjejas akibat jerebu.
Ibu bapa, penjaga serta warga sekolah dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini melalui saluran rasmi JPN Melaka atau pihak sekolah masing-masing.
Sementara itu, sekolah di Bentong, Pahang, kekal dibuka seperti biasa, namun aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah tidak dibenarkan sehingga arahan lanjut dikeluarkan.
Operasi sekolah di daerah lain di Pahang turut berjalan seperti biasa dan sebarang perubahan akan dimaklumkan menerusi JPN Pahang dan pejabat pendidikan daerah.
Di Pulau Pinang, murid digalakkan memakai pelitup muka dan minum air secukupnya sepanjang berada di sekolah.
Pihak pentadbiran sekolah juga perlu memastikan bekalan air minuman sentiasa mencukupi.
JPN Pulau Pinang pula berkata, pemantauan kualiti udara akan diteruskan, dengan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan.
Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, dinasihatkan supaya mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa pendidikan negeri masing-masing bagi mengetahui sebarang perubahan operasi sekolah serta langkah keselamatan yang berkuat kuasa susulan keadaan jerebu. - Getaran, 18 Oktober 2026






