
Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditutup esok, 9 Oktober 2026, susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, bagi Pahang, penutupan hanya melibatkan sekolah di daerah Rompin, manakala sekolah di negeri lain beroperasi seperti biasa mengikut takwim persekolahan.
“Susulan jerebu, sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup pada 9 Oktober 2026.
“Di Pahang, hanya daerah Rompin terlibat. Negeri lain beroperasi mengikut takwim persekolahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam ini.
Terdahulu, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor diarahkan ditutup sepenuhnya mulai esok susulan keadaan jerebu di negeri berkenaan.
Pengarah Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, penutupan itu akan diteruskan sehingga dimaklumkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Menurutnya, arahan berkenaan selaras dengan kenyataan media KPM yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.
“Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah JPN Selangor ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya dalam pemakluman hari ini.
Beliau berkata, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut diarahkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti perkembangan rasmi JPN Selangor, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah.
Menurutnya, orang ramai juga tidak seharusnya membuat andaian mengenai tarikh sekolah dibuka semula, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi JPN Selangor atau KPM.
Dalam pada itu, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan memastikan makluman penutupan disampaikan kepada pihak sekolah, guru, kakitangan, ibu bapa dan murid di daerah masing-masing.
“Pihak sekolah juga perlu terus memantau keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan seluruh warga pendidikan,” katanya.
Baca juga:KPM sebelum ini turut mengeluarkan beberapa panduan berkaitan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid ketika menghadapi keadaan cuaca panas dan jerebu






