Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor ditutup lima hari bermula Isnin ini

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 9:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor ditutup lima hari bermula Isnin ini

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Johor memutuskan untuk melanjutkan penutupan sekolah dan semua institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari lagi bermula Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penutupan sekolah sehingga 23 Oktober itu telah diperkenankan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Keputusan itu, ujar Muhammad Naqib, dicapai hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang diadakan tengah hari ini.

Pengecualian secara terhad, katanya, boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu.

Tambah beliau, ketetapan itu dibuat berpandukan laporan pemantauan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal pada paras membimbangkan, selain mengambil kira pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang.

“Pihak kesihatan turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pendedahan berpanjangan apabila sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan sepanjang bulan ini dengan peningkatan mingguan 20.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, kawasan Pasir Gudang di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu 196.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), enam kawasan di Johor turut melaporkan IPU tidak sihat, iaitu Larkin dengan 177, Pengerang (174), Kota Tinggi (172), Batu Pahat (170), Tangkak (168) dan Segamat (161).

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Dalam pada itu, Muhammad Naqib memberitahu, JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) secara harian, termasuk kewajipan pemakaian pelitup muka, manakala Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan.

“Bagi Institusi Pendidikan Swasta dan pusat penjagaan kanak-kanak, keputusan untuk beroperasi atau ditutup tertakluk kepada pertimbangan premis masing-masing dengan mematuhi garis panduan pengoperasian ditetapkan,” katanya. - 17 Oktober, 2026

The post Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor ditutup lima hari bermula Isnin ini appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved