
PETALING JAYA: Peningkatan pencemaran udara akibat jerebu mula memberi kesan kepada kesihatan awam apabila kes asma dilaporkan melonjak lebih lapan kali ganda dalam tempoh seminggu.
Sebanyak 1,811 kes asma direkodkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 dari 23 hingga 29 Ogos, berbanding hanya 219 kes pada minggu sebelumnya, iaitu antara 16 hingga 22 Ogos.
Kementerian Kesihatan berkata, peningkatan itu berdasarkan dapatan survelan yang dijalankan di fasiliti sentinel di seluruh negara.
Trend sama turut dikesan bagi kes konjunktivitis atau sakit mata yang meningkat kepada 720 kes pada ME ke-34 berbanding 146 kes pada ME ke-33.
“Sebaliknya, kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) menunjukkan penurunan 50 peratus, daripada 3,674 kes kepada 1,857 kes.
“Tiada sebarang kes kematian berkaitan komplikasi jerebu dilaporkan, namun pemantauan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kebangsaan terus dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, keadaan kualiti udara turut menunjukkan tahap membimbangkan apabila 30 daripada 68 stesen pemantauan Indeks Pencemar Udara (IPU) merekodkan bacaan pada kategori tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat pukul 8 pagi tadi.
Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi dengan IPU 222 yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Selain Sarawak, bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga, terutama golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas dan pesakit paru-paru kronik.
Golongan berkenaan disaran mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan sepanjang keadaan jerebu berlarutan.
Bagi mereka yang perlu berada di kawasan terbuka, KKM menyarankan penggunaan pelitup muka yang sesuai seperti N95, selain memastikan pengambilan air masak yang mencukupi bagi mengekalkan hidrasi tubuh.
KKM turut menasihatkan individu yang mengalami sesak nafas, batuk berterusan atau iritasi mata supaya segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat. – UTUSAN
The post Kes asma meningkat lebih lapan kali ganda susulan jerebu appeared first on Utusan Malaysia.






