HSN peringkat kebangsaan di Bukit Jalil ditangguh

9 Oct 2026 • 12:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: HSN peringkat kebangsaan di Bukit Jalil ditangguh
Keadaan jerebu di sekitar Bukit Jalil.

SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira risiko terhadap kesihatan awam dan keselamatan peserta serta orang ramai.

Menurut kenyataan KBS, penangguhan berkenaan diputuskan selepas perbincangan dengan agensi kerajaan berkaitan atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Langkah itu diambil secara proaktif bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan susulan kemerosotan kualiti udara.

KBS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung situasi jerebu yang sedang melanda negara.

Tarikh baharu sambutan peringkat kebangsaan akan diumumkan kemudian, bergantung kepada keadaan kualiti udara yang kembali selamat untuk aktiviti luar.

Bagaimanapun, pelaksanaan HSN di peringkat negeri dan lokasi lain ditentukan berdasarkan keadaan setempat serta keputusan pentadbiran masing-masing.

KBS memaklumkan sambutan HSN ditangguhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sebaliknya, sambutan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan mengikut perancangan asal.

Dalam perkembangan sama, orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah sepanjang keadaan jerebu masih berlarutan.

KBS turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi nasihat kesihatan dan panduan semasa yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved