Jerebu: Semua sekolah KPM di Putrajaya, Selangor ditutup hari ini

9 Oct 2026 • 7:45 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Jerebu: Semua sekolah KPM di Putrajaya, Selangor ditutup hari ini

Schools in Putrajaya, Selangor and Rompin, Pahang, ordered to close due to haze as 38 areas in Peninsular Malaysia record unhealthy air quality

PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor diarahkan tutup hari ini susulan situasi jerebu ketika ini.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan arahan KPM serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang amat prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan murid.

Menurut JPWPP, langkah penutupan diambil berasaskan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dicatatkan di stesen pemantauan setakat 5 petang tadi.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim mengesahkan penutupan penuh semua institusi pendidikan KPM di negeri berkenaan mulai esok sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan semua sekolah agama negeri di bawah jabatan itu ditutup sepenuhnya mulai hari ini, selain menyarankan sekolah Islam persendirian yang berdaftar dengan jabatan berkenaan mengikuti ketetapan berkenaan.

Di PAHANG, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menerusi kenyataan malam ini memaklumkan institusi pendidikan di bawah seliaannya di daerah Rompin ditutup sementara mulai esok sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.

“Semua institusi pendidikan di Rompin hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Berikutan penutupan itu, semua institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, para guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berkenaan, manakala ibu bapa dinasihatkan sentiasa merujuk maklumat daripada saluran rasmi.

Setakat 3 petang tadi, sebanyak 38 kawasan di Semenanjung merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan Segamat di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 190, diikuti Seremban (186) dan Nilai (185) di Negeri Sembilan, Kluang di Johor (181) serta Rompin di Pahang dan Johan Setia di Selangor yang masing-masing mencatatkan paras 178.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved