
KUALA LUMPUR – Langit ibu kota mungkin diselubungi jerebu, namun semangat patriotik tetap menyerlah apabila ribuan rakyat berbilang kaum dan agama berhimpun dalam busana tradisional bagi memeriahkan Keretapi Sarong 2026 (KS26), hari ini.
Acara sempena sambutan Hari Malaysia itu menyaksikan peserta memenuhi pengangkutan awam sebelum berkumpul di lokasi kemuncak di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), sekali gus menjadikan ruang bandar sebagai pentas warna-warni budaya Malaysia.
Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, KS26 kali ini membawa tema “Sayang Malaysia”, dengan acara berkenaan terus berkembang daripada sebuah flash mob budaya berskala kecil kepada gerakan yang menghimpunkan komuniti di beberapa bandar di seluruh negara.
Di sebalik kemeriahan pakaian tradisional, peserta yang ditemui berkongsi pelbagai sebab mereka bangga menjadi rakyat Malaysia, namun kebanyakan jawapan berkisar kepada satu perkara iaitu kepelbagaian yang menjadi identiti negara.
Antaranya ialah keharmonian masyarakat berbilang kaum, kekayaan budaya dan tradisi serta kepelbagaian makanan tempatan yang menjadi kebanggaan bersama.
Daripada nasi lemak dan roti canai hinggalah laksa serta satay, makanan dilihat bukan sekadar hidangan, malah sebahagian daripada identiti yang merapatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Busana seperti sarung, batik, songket, kebaya dan baju Melayu yang digayakan peserta pula menyerlahkan warisan serta identiti budaya yang diraikan bersama pada Hari Malaysia.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman sebelum ini berkata perkembangan Keretapi Sarong menunjukkan acara itu bukan lagi hanya tertumpu di ibu negara, sebaliknya berkembang sebagai gerakan budaya yang digerakkan komuniti di seluruh negara.
“Penambahan lokasi bukan semata-mata bertujuan menarik lebih ramai peserta, tetapi juga usaha membawa mesej perpaduan dan kecintaan terhadap Malaysia kepada lebih banyak komuniti,” katanya.
Penganjuran edisi ke-10 turut memperkenalkan lagu tema rasmi pertama Keretapi Sarong, “Joget Sarong”, selain beberapa pembaharuan termasuk stesen khas wanita di MRT Titiwangsa.
Walaupun jerebu menyelubungi beberapa kawasan negara, suasana di KS26 tetap meriah dengan kehadiran peserta bersama rakan dan keluarga, termasuk kanak-kanak, yang tampil dalam pelbagai gaya tradisional.
Selepas sedekad, Keretapi Sarong bukan lagi sekadar acara mengenakan pakaian tradisional, sebaliknya menjadi ruang pertemuan rakyat pelbagai latar belakang untuk meraikan perkara yang sama iaitu identiti, budaya dan rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
The post Jerebu tak halang semangat ‘Sayang Malaysia’, ribuan meriahkan Keretapi Sarong 2026 appeared first on MYBERITA.






