ISF kekal penerima manfaat fasa kedua pusat data Malaysia - JF Apex Securities

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 10:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ISF kekal penerima manfaat fasa kedua pusat data Malaysia - JF Apex Securities Image from: ISF kekal penerima manfaat fasa kedua pusat data Malaysia - JF Apex Securities hamden21/09/2026 - 10:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept - Kedudukan ISF Bhd yang terus mendapat manfaat daripada fasa kedua pembangunan pusat data (DC) Malaysia dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan, mendorong firma penyelidikan menaikkan harga sasaran (TP) saham itu kepada RM1.03 daripada RM0.92.

 

JF Apex Securities berkata peningkatan keyakinan terhadap keupayaan ISF merealisasikan pendapatan, bersama kedudukannya dalam kitaran pembangunan DC fasa kedua, turut menyokong penilaian semula gandaan sasaran lebih tinggi.

 

Saranan BELI terhadap ISF dikekalkan, manakala unjuran pendapatan tidak berubah. TP RM1.03 itu berdasarkan P/E 24.2 kali terhadap EPS FY27F sebanyak 4.3 sen, selain mengambil kira penarafan ESG tiga bintang.

 

“Pandangan positif kami terus disokong momentum operasi ISF yang kukuh, dengan margin kekal sekitar 28% susulan peningkatan sumbangan daripada projek DC bermargin tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Harga saham ISF telah meningkat daripada RM0.73 kepada RM0.86 sejak kemas kini terdahulu, menghampiri TP sebelum ini pada RM0.92.

 

Tender paras rekod RM500 juta

Menurut JF Apex Securities, saluran tender ISF kekal pada paras rekod kira-kira RM500 juta, dengan sekitar 60% atau RM300 juta daripadanya berkaitan DC.

 

Projek DC pula menawarkan margin kasar sekitar 50%, sekali gus dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan FY27F menerusi perolehan kontrak bermargin lebih tinggi.

 

“Dengan menggunakan kadar penukaran 35% terhadap nilai tender DC itu sahaja, ia menunjukkan potensi perolehan kontrak kira-kira RM105 juta pada separuh kedua 2026F,” katanya.

 

Firma itu berkata perolehan kontrak ISF bagi 2026 setakat ini berjumlah RM47 juta, terdiri daripada empat subkontrak kediaman dan dua anugerah berkaitan DC, termasuk pakej pembetungan pusat data hiperskala bernilai RM14.5 juta.

 

Keterlihatan pendapatan kumpulan turut disokong buku pesanan kira-kira RM150 juta, bersamaan nisbah buku kepada bil (book-to-bill) sekitar 1.5 kali hasil FY25.

 

Skop DC kini menyumbang kira-kira 25% daripada keseluruhan buku pesanan, meningkat daripada asas yang jauh lebih kecil sebelum ini.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan FY27F akan dipacu kontrak DC bermargin lebih tinggi, manakala FY28F pula dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan sumbangan projek infrastruktur air dan pembetungan berskala besar, termasuk inisiatif air tidak berhasil (NRW).

 

Bagi penilaian, firma berkenaan menaikkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kepada 24.2 kali daripada 21.5 kali, berdasarkan purata +1.0 sisihan piawai indeks P/E hadapan KL Construction Index.

 

Ia berkata peningkatan gandaan tersebut mencerminkan keyakinan lebih tinggi terhadap penyampaian pendapatan ISF serta kedudukannya yang terus mendapat manfaat daripada kitaran kerja kemasan DC fasa kedua Malaysia.

 

“Kes penilaian semula ISF semakin kukuh kerana unjuran pendapatan kekal tidak berubah menerusi beberapa kemas kini berturut-turut tanpa sebarang semakan menurun,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu turut menyifatkan ISF sebagai satu-satunya syarikat tersenarai yang menawarkan pendedahan tulen kepada pembangunan sistem paip dan pembetungan DC Malaysia, yang memberikan elemen premium kekurangan bekalan dalam penilaiannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved