liza21/09/2026 - 09:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – Penganalisis menyifatkan cadangan Capital A Berhad untuk menyusun semula struktur modal menerusi Move Digital Sdn Bhd (MDSB) sebagai perkembangan positif terutama dengan potensi penjualan BigPay yang boleh mengurangkan keperluan kumpulan itu untuk terus membiayai perniagaan teknologi kewangan yang masih mencatat kerugian.
Menurut penganalisis, potensi penjualan BigPay menjadi perkara utama dalam langkah berkenaan, memandangkan perniagaan tersebut masih memerlukan sokongan pembiayaan daripada Capital A.
MBSB Research berkata cadangan itu turut memberi laluan kepada Capital A untuk melupuskan pelaburan lamanya, termasuk pegangan dalam BigPay dan Tune Protect Group Berhad, selain mendapatkan kira-kira RM32 juta daripada penghutang.
MDSB, anak syarikat milik penuh Capital A memiliki 99.56% kepentingan dalam Big Pay Pte Ltd (BigPay) serta 13.6% pegangan dalam Tune Protect.
Di bawah skim yang diselia mahkamah, hasil daripada penjualan atau pelupusan aset MDSB akan digunakan untuk menyelesaikan liabiliti kepada pemiutang, dengan liabiliti bersih MDSB berjumlah RM292 juta pada akhir tahun kewangan 2025.
MBSB Research berkata Capital A berpotensi menghentikan pembiayaan lanjut kepada BigPay sekiranya penjualan itu berjaya dilaksanakan dan akan mengurangkan kerugian yang kini disatukan dalam AirAsia Next.
BigPay Masih Memerlukan Pembiayaan
Walaupun prestasi keuntungan BigPay tidak lagi didedahkan secara berasingan selepas dimasukkan dalam pelaporan AirAsia Next mulai suku keempat tahun kewangan 2025, pihak pengurusan memaklumkan BigPay masih mencatat kerugian pada suku kedua tahun kewangan 2026.
Bagaimanapun, kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kerugian operasi bersih masing-masing mengecil 28% dan 22% tahun ke tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Capital A laksanakan penstrukturan Move Digital di bawah pengawasan mahkamah, sasar pelupusan pegangan BigPay
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A menyediakan pendahuluan RM31.3 juta kepada BigPay pada separuh pertama tahun kewangan 2026, terdiri daripada RM24.1 juta pada suku pertama dan RM7.2 juta pada suku kedua.
Menurut MBSB Research, angka itu menunjukkan BigPay masih memerlukan pembiayaan berterusan daripada Capital A.
Penjualan BigPay pada masa hadapan juga berpotensi mengurangkan kerugian yang kini disatukan dalam AirAsia Next.
Tempoh Tiga Tahun Untuk Urus Aset
MBSB Research berkata skim yang dicadangkan memberikan MDSB tempoh sehingga tiga tahun untuk melupuskan asetnya, sekali gus memberi lebih banyak fleksibiliti dalam menentukan masa yang sesuai untuk penjualan BigPay dan pegangan 13.6% dalam Tune Protect.
Tempoh yang lebih panjang itu juga dapat mengurangkan keperluan untuk menjual aset dalam tempoh terdekat serta memberi MDSB lebih banyak ruang untuk memaksimumkan kutipan bagi menyelesaikan tuntutan pemiutang.
Dengan sebahagian besar liabiliti MDSB terhutang kepada Capital A dan entiti lain dalam kumpulan, langkah itu turut menyediakan laluan berstruktur untuk menangani obligasi lama MDSB.
MBSB Research tidak mengubah anggaran pendapatan Capital A pada ketika ini kerana masih menunggu maklumat lebih jelas mengenai tempoh, nilai pelupusan dan penyelesaian akhir langkah berkenaan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran Capital A pada RM0.53 berdasarkan kaedah jumlah nilai bahagian (SOTP), berbanding harga saham RM0.24 pada 18 September 2026 dan turut mengekalkan saranan Beli terhadap saham Capital A.
Sementara itu, PublicInvest Research pula berkata MDSB merupakan syarikat pegangan pelaburan yang tidak menjalankan operasi, dengan liabiliti bersih kira-kira RM292 juta yang sebahagian besarnya melibatkan liabiliti antara syarikat dalam kumpulan.
Firma itu berkata MDSB turut berdepan keputusan timbang tara yang memerlukan syarikat itu membeli saham minoriti BigPay bernilai AS$14.7 juta serta membayar kos sebanyak AS$4.1 juta berserta faedah.
"Skim yang dicadangkan masih di peringkat awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta mahkamah, selain penilaian lanjut terhadap aset dan penghutang, rundingan dengan pemiutang serta pengesahan akhir skim berkenaan.
"Penyelesaian liabiliti MDSB akan dibuat dalam tempoh sehingga tiga tahun melalui potensi penjualan BigPay mengikut keadaan pasaran, penjualan pegangan Tune Protect secara teratur serta kutipan kira-kira RM32.2 juta daripada penghutang pihak berkaitan," katanya.
PublicInvest juga mengekalkan penarafan Outperform dan harga sasaran Capital A pada RM0.55. - DagangNews.com






