JF Technology catat hasil tertinggi dalam sejarah RM86.7 juta bagi 12 bulan berakhir Jun 2026

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 6:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JF Technology catat hasil tertinggi dalam sejarah RM86.7 juta bagi 12 bulan berakhir Jun 2026 Image from: JF Technology catat hasil tertinggi dalam sejarah RM86.7 juta bagi 12 bulan berakhir Jun 2026 liza20/08/2026 - 18:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos –  JF Technology Berhad mencatat hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak RM86.7 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 Jun 2026 (12MFPE26), hampir dua kali ganda rekod tahunan sebelum ini sebanyak RM45.3 juta yang dicatatkan pada 2023.

 

Bagi tempoh sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) mencecah rekod RM16.4 juta, manakala keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan berjumlah RM12 juta.

 

Prestasi itu didorong oleh peningkatan jualan merentasi semua segmen utama kumpulan, termasuk penyelesaian ujian sentuhan, produk antara muka ujian, kemudahan pembuatan di Kunshan, China serta operasi pembuatan kad prob dan pembersih laser untuk soket ujian.

 

Prestasi Suku Keempat Terus Kukuh

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026 (4QFY26), hasil JF Technology meningkat kepada RM27.4 juta, sekali gus menjadi suku kelima berturut-turut yang mencatat pertumbuhan hasil.

 

PBT suku itu turut mencapai rekod tertinggi RM6.3 juta, mengatasi rekod sebelumnya RM6 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2022 manakala keuntungan bersih berjumlah RM4.8 juta.

 

AI Dan Pusat Data Pacu Permintaan

Pengarah Urusan Kumpulan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong, berkata prestasi tersebut dicapai walaupun persekitaran ekonomi makro masih mencabar dengan prospek industri semikonduktor terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

 

Menurut beliau, unjuran Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) dan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menunjukkan pasaran cip global dijangka mencapai kira-kira AS$1.5 trilion pada 2026 dan melebihi AS$1.9 trilion pada 2027.

 

Pertumbuhan itu didorong perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), yang meningkatkan permintaan terhadap pemproses logik, memori, cip analog dan pelbagai komponen semikonduktor lain.

 

Kedudukan Sebagai Penyedia Sehenti

JF Technology melihat peningkatan pelaburan dalam AI dan pusat data sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang kerana setiap lapisan infrastruktur AI memerlukan kandungan semikonduktor.

 

Foong berkata kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang berkenaan melalui penyelesaian ujian sentuhan dan antara muka ujian yang digunakan dalam rantaian nilai pengeluaran cip.

 

Kumpulan itu juga terus mengembangkan strategi sebagai penyedia perkhidmatan sehenti dengan menggabungkan pelbagai produk dan keupayaan bagi membantu pelanggan mengurangkan masalah operasi serta mempercepatkan proses membawa produk ke pasaran.

 

Tempahan Kekal Sihat, Risiko Masih Dipantau

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif JF Technology, Andy Goh Joo Hwa berkata keterlihatan tempahan bagi semua segmen perniagaan utama kekal sihat dan menyokong prospek pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Bagi 4Q26, Malaysia menyumbang 43.1% atau RM11.8 juta kepada hasil kumpulan, melepasi RM10 juta buat kali pertama, diikuti China sebanyak RM3.8 juta dan Amerika Syarikat RM0.9 juta.

 

Walaupun prospek industri kekal positif, kumpulan masih berdepan ketegangan geopolitik, tekanan terhadap rantaian bekalan global dan kos input yang tinggi. JF Technology akan terus menyesuaikan strategi sumber bekalan dan operasi mengikut keadaan pasaran.

 

JF Technology turut menukar tahun kewangan daripada berakhir 30 Jun kepada 31 Disember bagi menyelaraskan tempoh kewangan dengan anak syarikat luar negara, termasuk anak syarikat di China. 

 

Penyata kewangan teraudit seterusnya akan meliputi tempoh 18 bulan dari 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved