
PETALING JAYA: WCE Holdings Berhad (WCEHB) mencatatkan peningkatan hasil kutipan tol sebanyak 11 peratus bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026, disokong oleh pembukaan berperingkat seksyen Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang telah siap.
Peningkatan kutipan tol berkenaan terutamanya disumbangkan oleh kutipan tol Seksyen 2 bagi tempoh suku penuh susulan permulaan kutipan pada Jun 2025, di samping pertumbuhan berterusan jumlah trafik.
Ketua Pegawai Eksekutif WCEHB, Lyndon Alfred Felix berkata, keutamaan Kumpulan kini tertumpu kepada penyampaian projek mengikut tempoh yang ditetapkan di samping meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna.
“Jajaran penuh WCE yang dijangka beroperasi pada awal 2027 dijangka mempercepatkan pertumbuhan trafik, memperkukuh hasil tol berulang serta meningkatkan kemampanan kewangan jangka panjang Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai prestasi kewangan, WCEHB berjaya mengecilkan kerugian sebelum cukai sebanyak empat peratus kepada RM33.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berbanding RM34.6 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan turut mengekalkan momentum operasi positif apabila merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM31.7 juta bagi suku berkenaan.
Walau bagaimanapun, jumlah hasil Kumpulan bagi suku berkenaan menyusut kepada RM140.8 juta berbanding RM393.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026, berikutan hasil pembinaan yang lebih rendah apabila Projek WCE semakin menghampiri fasa siap.
Setakat ini, lapan daripada 11 seksyen Projek WCE telah beroperasi merangkumi 180 kilometer di Selangor dan Perak.
Bagi baki kerja pembinaan, Seksyen 3 dan Seksyen 7 kini sedang dalam pelaksanaan, manakala Seksyen 4 yang telah siap sepenuhnya akan dibuka serentak bersama Seksyen 3. – UTUSAN
The post Hasil kutipan tol WCE naik 11 peratus pada suku pertama appeared first on Utusan Malaysia.






