amree28/10/2026 - 09:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — Ni Hsin Group Berhad berhasrat melaksanakan terbitan waran bonus sehingga 312.65 juta waran bagi mengumpul dana RM112.55 juta serta membiayai modal kerja dan rancangan pertumbuhan perniagaan kenderaan elektrik (EV).
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, cadangan penerbitan itu melibatkan pemberian satu waran percuma bagi setiap dua saham sedia ada yang dipegang pemegang saham.
Setiap waran berkenaan akan memberi hak kepada pemegangnya untuk melanggan satu saham baharu Ni Hsin pada harga yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun.
"Harga pelaksanaan akan ditetapkan kemudian, namun syarikat menggunakan harga indikatif 36 sen setiap waran sebagai andaian bagi tujuan ilustrasi," jelasnya.
Menerusi harga indikatif itu, syarikat pengeluar barangan dapur berkenaan berupaya mengumpul dana sebanyak RM112.55 juta sekiranya kesemua waran habis dilanggan sepenuhnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 95% akan digunakan untuk modal kerja termasuk pembelian motosikal elektrik, bateri, kabinet pengecasan, keluli tahan karat serta perbelanjaan pemasaran dan pentadbiran.

Baki 5% lagi ujar kumpulan berkenaan, akan diperuntukkan pula bagi menaik taraf barisan pemasangan, kemudahan pengeluaran dan stor penyimpanan untuk perniagaan EV syarikat.
Ni Hsin menjelaskan bahawa kumpulan tersebut hanya akan menerima hasil dana berkenaan apabila pemegang waran melaksanakan hak mereka untuk melanggan saham baharu.
Pelaksanaan waran bonus itu berpotensi meningkatkan jumlah saham terbitan Ni Hsin sehingga 50% sekiranya dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus mencairkan pendapatan sesaham (EPS) syarikat.
Langkah pengumpulan dana ini dibuat ketika Ni Hsin semakin agresif memperluas perniagaan EV merangkumi pembuatan kontrak dan operasi pemasangan serta pelbagai segmen baharu.
Permohonan terbitan waran ini tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia dan pemegang saham, dengan jangkaan siap menjelang suku pertama 2027, dengan M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama. - DagangNews.com





